Melaka Terima 18,000 Tempahan Hotel Sejak Pelaksanaan PKPP

ALOR GAJAH, 7 Ogos – Sektor pelancongan di Melaka menerima kira-kira 18,000 tempahan hotel di seluruh negeri sejak Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dilaksanakan mulai 10 Jun lepas.

Ketua Menteri Datuk Sulaiman Md Ali berkata kerajaan negeri menyasarkan lebih 25,000 tempahan hotel diterima di negeri ini sehingga Disember depan sekali gus ianya membantu merancakkan semula ekonomi pelancongan domestik.

“Walaupun pintu sempadan negara masih ditutup kepada warga asing bagi mencegah penularan kes import COVID-19 di negara ini, namun pertambahan tempahan hotel ini menunjukkan sektor pelancongan di negeri ini semakin pulih.

Pihak kita juga dimaklumkan tempahan hotel bertaraf tiga hingga lima bintang di negeri ini pada minggu lepas turut menerima 100 peratus tempatan terutama pada cuti hujung minggu,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan kit COVID-19 kepada wakil 51 sekolah di kawasan Parlimen Masjid Tanah di sini, semalam.

Pada majlis itu juga anak syarikat kerajaan negeri Putra Specialist Hospital Melaka turut menyumbangkan kit COVID-19 kepada 300 sekolah di seluruh Melaka sebagai antara aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) dalam membantu sektor pendidikan.

Dalam pada itu, Sulaiman turut meminta semua pengunjung yang datang ke Melaka untuk sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan bagi memastikan negeri itu kekal selamat untuk dikunjungi. – BERNAMA