Mahathir Akan Tubuh Satu Lagi Parti Melayu, Layak Ditabal ‘Bapa Pemecah Belah Orang Melayu’ – Isham

KUALA LUMPUR, 7 Ogos – Petang ini Tun Dr Mahathir Mohamad dijangka akan mengumumkan penubuhan parti baru, setelah mahkamah semalam mendapati dia bukan lagi Pengerusi PPBM (Bersatu).

Sehubungan itu, Presiden Sukarelawan Malaysia, Isham Jalil berkata, Mahathir kini amat layak untuk ditabalkan sebagai ‘Bapa Pemecah Belah Orang-orang Melayu’.

Ujarnya, parti baru Mahathir ini dikhabarkan akan dinamakan Parti Bersatu Rakyat Malaysia (PBRM) yang terdiri daripada serpihan ahli-ahli Bersatu di kalangan orang-orang Melayu.

“Sebelum ini saya pernah berkata jika kita ingin menyatupadukan orang-orang Melayu, tidak boleh ada banyak parti Melayu, sebab jika ada banyak parti Melayu, orang-orang Melayu berkemungkinan besar akan lebih bertelagah dan berpecah belah.

“Lebih dua puluh tahun dahulu, Mahathir telah memecah belahkan orang-orang Melayu dengan penubuhan parti PKR oleh Anwar akibat pergaduhan Mahathir dengan Anwar.

“Lima tahun lalu Mahathir telah memecah belahkan lagi orang-orang Melayu melalui penubuhan parti Bersatu (PPBM) untuk menjatuhkan Datuk Seri Najib kerana Najib tidak bantu anak Mahathir iaitu Mukhriz dalam pemilihan UMNO dan Najib tidak bantu kroni-kroni Mahathir untuk menyambung kontrak-kontrak dan konsesi kerajaan yang diperoleh selama berpuluh tahun sebelum itu,” jelas Isham dalam kenyataan menerusi laman facebooknya, hari ini.

Dan kini kata Isham, Mahathir akan memecah belahkan lagi orang-orang Melayu dengan penubuhan satu lagi parti Melayu.

“Ini tidak akan berhenti sehinggalah anaknya Mukhriz menjadi Perdana Menteri dan kepentingan peribadi dan kroni-kroninya dipenuhi.”

Terangnya, dengan perpecahan demi perpecahan akibat penubuhan parti-parti Melayu oleh Mahathir ini, orang-orang Melayu akan menjadi semakin lemah dan bukan sebaliknya, dan yang paling untung dan bersorak dengan tindakan Mahathir ini adalah musuh-musuh Melayu dan Dap.

“Jika masih ada lagi orang-orang Melayu yang masih tidak sedar dan masih mengikut Mahathir lagi, saya tidak tahu apa nak kata.

“Kepada Tun Mahathir dan pengikut-pengikutnya ini, daripada mereka menjadi musuh dalam selimut untuk orang-orang Melayu, mungkin lebih baik mereka terus masuk DAP secara terang-terangan seperti segelintir Melayu Dap yang lain.

“Dengan ini mereka tidak perlu bersorok atau berselindung lagi tentang perjuangan sebenar mereka,” katanya lagi.

Terdahulu dilaporkan, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berjaya dalam permohonan mereka untuk membatalkan saman yang difailkan Tun Dr Mahathir Mohamad dan yang lain berhubung pembatalan keahlian mereka dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Pada 9 Jun, Dr Mahathir, anaknya Datuk Seri Mukhriz, Dr Maszlee Malik, Datuk Amiruddin Hamzah, Datuk Marzuki Yahya dan parti itu sendiri telah memfailkan saman berhubung pembatalan keahlian mereka dalam Bersatu, yang dinamakan sebagai plaintif pertama hingga keenam.

Mereka menamakan Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu dan Pemangku Pengerusi; Setiausaha Agung Datuk Seri Hamzah Zainudin; Setiausaha Kerja Kapten (B) Muhammad Suhaimi Yahya dan Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) Masyati Abang Ibrahim sebagai defendan pertama hingga keempat.

Menjelaskan mengenai faktor lokus standi, hakim itu berkata pada 4 Jun 2020 Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, telah mengesahkan keputusan Bersatu bahawa plaintif pertama, Dr Mahathir telah meletakkan jawatan sebagai Pengerusi pada 24 Feb dan berdasarkan Fasal 16.9 Perlembagaan Bersatu, Muhyiddin yang merupakan defendan pertama, memangku jawatan sebagai Pengerusi Bersatu.- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.