Licik: Bekas Peguam Negara Pernah Hasrat Selesai Isu Goldman Sachs Di Luar Mahkamah

KUALA LUMPUR, 7 Ogos – Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz hari ini mendedahkan bekas Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas pernah berhasrat untuk menyelesaikan isu berhubung penyelesaian hutang tertunggak oleh bank pelaburan Goldman Sachs Group Inc di luar mahkamah.

Tengku Zafrul berkata syor itu dikemukakan kepada bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dalam surat bertarikh 11 Feb 2020.

“Kita mempunyai rekod yang menunjukkan bahawa pada 13 Dis 2019, kerajaan terdahulu (Pakatan Harapan) telah menawarkan penyelesaian US$4 bilion kepada Goldman Sachs, tetapi tawaran itu telah ditolak oleh Goldman Sachs, sebaliknya mereka telah memberi tawaran balas iaitu hanya US$1.5 bilion.

“Yang terkini dan belum pernah dikongsi sebelum ini ialah surat bertarikh 11 Feb 2020, Tan Sri Tommy Thomas telah memaklumkan kepada mantan perdana menteri bahawa Goldman Sachs bersetuju menaikkan tawaran mereka kepada US$1.75 bilion.

“Jumlah ini termasuk juga bayaran cukai US$164 juta dan pemulangan yuran sebanyak US$567 juta. Syor yang diberi mantan peguam negara dalam surat tersebut adalah untuk mencari penyelesaian di luar mahkamah …pada waktu itu, bekas Peguam Negara turut menawarkan penyelesaian (di luar mahkamah) dengan Goldman Sachs.

“…oleh itu adalah licik untuk beliau menyatakan bahawa kami (Perikatan Nasional) tidak sepatutnya lakukan apa yang beliau sebenarnya mahu lakukan terlebih dahulu,” katanya semasa menggulung perbahasan menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong bagi kementerian itu pada persidangan Dewan Rakyat semalam.

Menjelas lanjut, Tengku Zafrul berkata walaupun PH telah mendaftarkan kes jenayah terhadap Goldman Sachs dan 17 orang pengarah semasa memerintah dahulu, sehingga kini tidak ada seorang pun pengarah berkenaan yang dihadapkan ke mahkamah dan proses penyerahan pertuduhan juga masih belum terlaksana.

Beliau berkata sekiranya pendakwaan dibuat di Malaysia, kesemua 17 pengarah itu perlu diekstradisi untuk dibicarakan di negara ini.

“Proses ini tidak pernah pun dilaksanakan semasa beliau (Thomas) menjadi peguam negara. Sekiranya proses ekstradisi ini dimulakan, ia tentu ditentang oleh 17 pengarah tesebut dan tiada kepastian mereka akan berjaya diekstradisi ke Malaysia.

“Pada masa yang sama, denda ke atas syarikat mungkin tidak akan mencukupi untuk menanggung liabiliti bon yang akan matang pada tahun 2022 dan 2023,” katanya ketika menjawab soalan Tony Pua (PH-Damansara) yang bangun mencelah bagi mendapatkan penjelasan lanjut mengenai surat tawaran itu.

Berhubung soalan Pua mengenai jaminan pemulangan aset bernilai US$1.4 bilion yang diberi oleh Goldman Sachs, Tengku Zafrul menjelaskan aset yang dibekukan tidak semestinya diterima pada nilai yang sama.

“Ini jelas ketika Malaysia berusaha mendapatkan kapal Equanimity, dari harga pembelian US$250 juta, Malaysia hanya memperoleh semula US$125 juta. Ini juga sebelum ditolak kos pemulihan dan penyelenggaraan.

“Begitu juga, kes jet Bombardier bernilai US$35.37 juta yang dirampas di Singapura dan dijual oleh pihak berkuasa Singapura dengan hanya US$137,615 dan akhirnya Malaysia hanya menerima US$136,500,” katanya.

Pada sesi penggulungan itu, Lim Guan Eng (PH-Bagan) juga bangun mencelah bagi meminta penjelasan kerajaan sama ada persetujuan menerima tawaran terkini daripada Goldman Sachs telah mendapat kelulusan Jemaah Menteri.

Tengku Zafrul berkata, “Kabinet telah memberi kuasa kepada Peguam Negara dan pasukan untuk berunding dan mencari penyelesaian,”.

Jawapan Menteri Kewangan itu menyebabkan Lim tidak berpuas hati dan meminta penjelasan lanjut, serta disokong oleh beberapa Ahli Parlimen pembangkang.

Keadaan bertambah kecoh apabila beberapa ahli Parlimen blok kerajaan mempertahankan kenyataan Tengku Zafrul sehingga memaksa Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun meredakan keadaan dan menamatkan sesi penggulungan hari ini.

Persidangan Dewan Rakyat bersambung Isnin. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.