Hishammuddin Bincang Dengan AS, China Mengenai Vaksin COVID-19

KUALA LUMPUR, 7 Ogos – Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) bersetuju untuk menumpukan mengenai pembuatan dan pengedaran vaksin COVID-19, apabila ia tersedia kelak, kata Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Hishammuddin, dalam akaun Twitternya berkata perkara itu dibincangkan antara beliau dengan Setiausaha Negara AS Mike Pompeo menerusi perbualan telefon pada Khamis.

Kedua-dua pemimpin berkenaan turut membincangkan isu Laut China Selatan dan Hishammuddin menyatakan perkara itu mesti diselesaikan secara aman berdasarkan prinsip-prinsip yang diiktiraf oleh undang-undang antarabangsa termasuk Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Undang-Undang Laut (UNCLOS) 1982.

“Baru sahaja bercakap melalui telefon dengan Setiausaha Negara AS @SecPompeo – kedua-duanya bersetuju untuk menumpukan usaha pada pembuatan & pengedaran vaksin # COVID19, apabila ia sudah tersedia. Turut dibincangkan mengenai #LautChinaSelatan yang mesti kekal menjadi laluan perdagangan dan perairan yang aman,” memetik Twitternya pada Khamis.

Sementara itu, Timbalan Ketua Jurucakap Jabatan Negara AS Cale Brown, dalam satu kenyataan di laman webnya mengatakan Pompeo dan Hishammuddin juga berbincang mengenai Perkongsian Komprehensif AS-Malaysia.

“Kedua-duanya turut membincangkan kerjasama ekonomi dan kesihatan yang berterusan berikutan pandemik COVID-19,” kata kenyataan itu.

Sementara itu, dalam ciapan terdahulu, Hishammuddin berkata Malaysia dan China juga sepakat untuk secara aktif mengadakan kerjasama mengenai vaksin COVID-19.

Perkara itu dibincangkan menerusi perbualan telefon antara Menteri Luar dan rakan sejawatannya dari China Wang Yi pada Rabu, dan kedua-dua pihak bersetuju mencari jalan untuk bersama-sama memastikan keselamatan rantaian bekalan vaksin COVID-19, sekaligus memperlihatkan isyarat positif mengenai perpaduan serta kerjasama Malaysia dan China. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.