COVID-19: Polis Nasihat Masyarakat Jangan Panik Dan Sebar Khabar Angin

ALOR SETAR, 7 Ogos – Pihak polis menasihatkan masyarakat di sekitar Kulim tidak panik berikutan situasi semasa yang menyaksikan peningkatan kes penularan wabak COVID-19 di daerah berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kulim Supt Azhar Hashim berkata semua pihak diingatkan supaya tidak menyebarkan khabar angin dan menghebahkan berita tidak tepat kepada umum sehingga menimbulkan kegelisahan penduduk.

“Pihak yang tidak bertanggungjawab mereka-reka cerita dan menyebarkan berita yang tidak benar akan disiasat dan diambil tindakan undang-undang.

“Hentikan penyebaran ini, kita tidak perlu berseronok dengan berita sensasi yang tidak benar. Kenyataan tepat tentang situasi terkini hanyalah daripada sumber-sumber rasmi kerajaan sahaja,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata enam kes baharu positif COVID-19 di Kedah, dikesan daripada kluster Sivagangga.

Azhar berkata menjadi kepentingan semua pihak sekarang untuk patuh kepada semua arahan serta prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan, selain lebih berhati-hati dan meningkatkan tahap kebersihan diri, keluarga dan ahli masyarakat dalam komuniti masing-masing bagi memutuskan rantaian penularan COVID-19. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.