PRK Slim: Jentera Wanita UMNO Patuh SOP, Pastikan Sokongan Pengundi Untuk BN

TANJUNG MALIM, 6 Ogos – Dalam usaha untuk memastikan sokongan rakyat khususnya pengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim, tetap kepada Barisan Nasional (BN) jentera Wanita UMNO telah melaksanakan gerak kerja namun tetap patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Ketuanya, Datuk Dr Noraini Ahmad berkata, Wanita UMNO sentiasa diingatkan agar mengikuti SOP yang telah ditetapkan oleh pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Saya telah mengarahkan Wanita UMNO agar patuh pada SOP kerana kita kena jaga kesihatan dan keselamatan masing-masing terutamanya di pihak jentera,” katanya.

Noraini yang juga Ahli Parlimen Parit Sulong berkata demikian dalam ucapan semasa Program Ziarah Kasih Skuad Sayang 3K, PRK N58, Slim di Dewan Rajawali Felda Residence, hari ini.

Program ini telah dirasmikan oleh Pengerusi UMNO Perak merangkap Pengarah Pilihan Raya Kecil (PRK) N58 Slim, Datuk Saarani Mohamad.

Berkaitan program tersebut, Noraini menjelaskan bahawa program Ziarah Kasih Skuad Sayang adalah sinonim dengan Wanita UMNO.

“Ini adalah program kebiasaan yang Wanita UMNO sentiasa buat dari semasa ke semasa. Kali ini… insya-Allah kita akan menggerakkan jentera masing-masing ke PDM DUN Slim sebagai persiapan awal untuk menghadapi PRK di sini.

“Wanita adalah ‘team’ yang pertama turun untuk membuat bancian sentimen dikalangan pengundi-pengundi di DUN Slim ini.

“Gerak kerja kali ini ada sedikit berbeza tapi matlamatnya adalah sama iaitu peraih undi dan sokongan daripada pengundi terhadap calon BN,” ujarnya lagi.

PRK DUN Slim akan diadakan 29 Ogos, berikutan kematian penyandangnya Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib, 59, pada 15 Julai lalu.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) pada 2018, Mohd Khusairi yang mewakili BN mengekalkan kerusi DUN Slim dengan majoriti 2,183 undi, menewaskan Bersatu yang bertanding atas tiket PKR diwakili Mohd Amran Ibrahim dan calon PAS Muhammad Zulfadli Zainal.

Perak mempunyai 59 kerusi DUN dan daripada jumlah itu 32 membentuk Perikatan Nasional, terdiri daripada 25 BN yang kesemuanya UMNO, Bersatu (empat), PAS (tiga) manakala DAP (16), Amanah (lima), PKR (tiga), Bebas (dua) serta Gerakan (satu). – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.