Kerajaan PN Perlu Nilai Semula Keputusan Tidak Tubuh RCI Tabung Haji – Dr Asyraf

KUALA LUMPUR, 6 Ogos – Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia kekal tegas mendesak agar Kerajaan Perikatan Nasional (PN) menubuhkan Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) menyiasat sebarang salah laku dan penyelewengan dalam urusniaga Tabung Haji (TH).

Kata Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, bermula dengan pelbagai tuduhan penyelewengan yang berlaku dalam TH oleh Kerajaan Pakatan Harapan (PH) terdahulu, yang sehingga kini tiada satupun didakwa ke muka pengadilan, sehinggalah pelbagai isu yang menyentuh hati rakyat termasuklah isu jualan lambak ke atas 76.2% ladang-ladang milik TH Plantations dengan harga di bawah nilai pasaran.

“Ini tidak termasuk aset-aset hartanah TH bernilai RM10 bilion yang sudah terjual kepada syarikat milik Kementerian Kewangan, Urusharta Jemaah Sdn Bhd. Aset-aset ini termasuklah tanah TRX bernilai RM400 juta dan hotel-hotel TH seluruh Malaysia yang selama ini banyak menyumbang kepada perolehan TH.

“Harus diingat TH adalah institusi yang cukup bernilai di hati rakyat Malaysia. Sebelum PH memerintah, TH tidak pernah gagal dalam merealisasikan matlamat penubuhan yang bukan sahaja menguruskan segala keperluan urusan dan hal ehwal kebajikan jemaah Haji, tetapi juga menjana ekonomi umat Islam,” katanya dalam satu kenyataan.

Jelas Dr Asyraf lagi, kecemerlangan TH sebelum ini bukan sahaja diiktiraf oleh dunia malah prestasi kewangan yang memberangsangkan setiap tahun membolehkan pendeposit berkongsi hibah dan bonus setiap tahun secara purata tidak kurang daripada 6.25% setelah ditolak zakat 2.5%.

“Sebab itulah, apabila pelbagai tuduhan penyelewengan, skandal, defisit yang melanda secara tiba-tiba sejurus selepas PH memerintah mencetuskan pelbagai tanda tanya dan polemik berterusan,” katanya.

Justeru tegas Dr Asyraf, Pemuda UMNO menuntut agar Kerajaan PN dapat menilai kembali keputusan untuk tidak menubuhkan RCI.

“Hanya RCI mampu menghentikan polemik tuduh-menuduh atas segala penyelewengan dan penyimpangan terhadap urusniga TH yang tiada berkesudahan, sekaligus mengembalikan keyakinan 9.3 juta pendeposit dan pelabur institusi terulung umat Islam ini,” ujarnya lagi. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.