PRN Sabah: Pemuda UMNO Siap Sedia, Yakin ‘Track Record’ Cemerlang BN Bawa Kejayaan

KOTA KINABALU, 5 Ogos – Pergerakan Pemuda UMNO Sabah telah bermesyuarat dan mempersiapkan strategi serta jentera di samping beberapa ketetapan secara kolektif bagi berdepan dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Sabah, Suffian Abd Karim berkata, dengan adanya pengalaman, strategi, ‘track record’ cemerlang serta pendirian kukuh Pengerusi UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin maka tentunya yakin ia akan mampu membawa kejayaan kepada Barisan Nasional (BN) Sabah.

“Pertama, Pergerakan Pemuda UMNO Sabah menyambut baik seruan dan cabaran Datuk Seri Bung Moktar, Pengerusi UMNO Sabah untuk meletakkan 85 peratus calon baru pada PRN Sabah kali ini,” katanya dalam kenyataan berkaitan hal tersebut.

Jelasnya, ini merupakan suatu pembaharuan yang julung kalinya di bawa ke dalam mana-mana organisasi parti politik sesuai dengan kehendak ahli akar umbi dan rakyat.

“Peluang dan ruang ini amat bermakna bagi Pergerakan Pemuda UMNO Sabah bagi mengemukakan calon-calon muda yang berpotensi dan berpengaruh di setiap DUN.

“Kedua, Pemuda menyokong penuh kepimpinan Datuk Seri Bung Moktar sebagai Pengerusi UMNO Sabah dan menyokong beliau untuk mengemudi BN Sabah pada PRN Sabah kali ini,” katanya lagi.

DUN Sabah dibubarkan pada Khamis, memberi laluan kepada pilihan raya negeri, yang perlu diadakan sebelum 29 Sept.

Pada pilihan raya ke-14, 60 kerusi DUN dipertandingkan namun pada Julai tahun lepas, Dewan Rakyat meluluskan usul untuk menambah 13 lagi kerusi DUN di Sabah, menjadikan jumlah keseluruhan 73 kerusi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.