OPS Benteng: 25 Penguat Kuasa Ditangkap Subahat Bawa Masuk Pendatang Tanpa Izin

KUALA LUMPUR, 5 Ogos – Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana rakyat Malaysia termasuk penguat kuasa yang menjadi petualang dan pemberi maklumat sehingga membenarkan negara dicerobohi pendatang tanpa izin, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Dalam Negeri I Datuk Seri Ismail Mohamed Said berkata sejak Ops Benteng dilaksanakan 1 Mei lepas, sebanyak 25 penguat kuasa ditangkap kerana bersubahat membawa masuk pendatang tanpa izin ke negara ini.

“Ia melibatkan 18 pegawai dan anggota polis, lima anggota Angkatan Tentera Malaysia dan dua pegawai Imigresen.

“Pihak kementerian dan kerajaan ambil berat terhadap tindakan-tindakan yang dilakukan oleh penguat kuasa yang terlibat (yang ditangkap) dalam Ops Benteng ini.

“Mereka telah menyalahi atau melanggar undang-undang negara, bertindak menjadi pemberi maklumat atau bersubahat membawa (masuk) pendatang tanpa izin ke dalam negara kita,” katanya bagi menjawab soalan Datuk Seri Mahdzir Khalid (BN-Padang Terap) berhubung keberkesanan Ops Benteng dalam mengatasi masalah sindiket penyeludupan pendatang tanpa izin.

Ismail berkata sehingga kini sebanyak 3,597 individu terdiri 2,625 pendatang tanpa izin, 602 tekong dan 370 pemberi maklumat atau yang bersubahat membawa masuk pendatang terbabit ditangkap dalam Ops Benteng.

Menjawab soalan tambahan Mahdzir berhubung tindakan yang diambil kerajaan memandangkan kos pengurusan pendatang tanpa izin yang diletakkan di depoh tahanan seluruh negara adalah tinggi, beliau berkata kerajaan bekerjasama dengan negara asal pendatang terlibat untuk menghantar mereka pulang secepat mungkin.

“Memang kos perbelanjaan pendatang tanpa izin terlalu besar dan memberi bebanan tinggi kepada kawangan negara kerana perbelanjaan seorang termasuk makan, minum, tempat adalah RM90 sehari dan juga (kos) proses menghantar pulang ke negara asal.

“Sebab itu kita sentiasa berbincang menerusi Jabatan Imigresen Malaysia supaya pendatang tanpa izin yang ditempatkan di depoh tahanan dihantar ke negara asal, dengan terkini 22,927 orang telah dihantar pulang antaranya Indonesia (5,613), Myanmar (3,990) dan Bangladesh (2,664),” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.