Keadilan Untuk Arwah Adib Jangan Dilengah-lengahkan – Zahid

KUALA LUMPUR, 5 Ogos – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan bahawa sewajibnya pendakwaan yang patut dikenakan kepada mereka yang terlibat dalam kes kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim adalah kesalahan yang berkaitan dengan jenayah membunuh sebagaimana yang diperuntukkan di dalam Bab 16 Kanun Keseksaan dan bukannya kesalahan himpunan haram.

Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata demikian berikutan mengambil maklum cadangan kerajaan kepada pihak Peguam Negara untuk menuduh 12 orang suspek di bawah Seksyen 143 Kanun Keseksaan yang merusuh dan menyerang jentera bomba dan mengadakan semula inkues untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 339 (2) Kanun Prosedur Jenayah.

“Bagaimanapun, cadangan tersebut seolah-olah menidakkan keputusan yang telah dibuat oleh Mahkamah Koroner Shah Alam pada 27.9.2019 yang memutuskan bahawa punca kematian arwah Adib adalah disebabkan dari perbuatan jenayah membabitkan dua atau lebih individu yang tak dikenali,” katanya dalam kenyataan berkaitan hal tersebut, hari ini.

Ujarnya, Seksyen 143 Kanun Keseksaan adalah hukuman bagi mereka yang terlibat dalam sesuatu perhimpunan yang menyalahi undang-undang, di mana pesalah hanya dihukum penjara tidak lebih 6 bulan atau denda atau keduanya sekali.

“Ini tidak setimpal dengan nyawa seorang Penjawat Awam yang telah dibunuh,” tegasnya.

Tambahan katanya, cadangan untuk mengadakan semula inkues, walaupun dibenarkan oleh undang-undang, jelas membuang masa dan melengahkan lagi keadilan terhadap arwah Muhammad Adib dan ahli keluarganya.

“Apatah lagi kesalahan yang telah dilakukan adalah suatu jenayah yang amat serius terhadap seorang Penjawat Awam yang sedang menjalankan tugas.

“Marilah kita berdoa agar roh Allahyarham Muhammad Adib ditempatkan dalam kalangan golongan beriman dan beramal soleh. Amin,” katanya lagi.

Muhammad Adib, 24, yang bertugas sebagai anggota bantuan kecemasan Jabatan Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, parah dalam rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 Nov 2018 dan meninggal dunia di Institut Jantung Negara selepas 21 hari menerima rawatan.

Pada 27 Sept tahun lepas, Mahkamah Koroner Shah Alam memutuskan kematian Muhammad Adib, adalah akibat perbuatan jenayah yang dilakukan lebih dua atau tiga individu tidak diketahui – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.