PRN Sabah: Pastikan Satu Lawan Satu – UMNO Kalabakan

KUALA LUMPUR, 4 Ogos – Ketua UMNO Kalabakan, Andi Muhammad Suryady Bandy berkata semua parti di Sabah yang mesra kerajaan pusat boleh membuat perjanjian untuk mengelakkan pertembungan tiga penjuru atau lebih di Pilihan Raya Negeri (PRN).

Ujarnya, Barisan Nasional (BN) yang terdiri daripada UMNO Sabah, PBRS dan MCA dengan rakan-rakan PAS, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), PBS dan STAR perlu bekerjasama untuk meletakkan calon satu lawan satu menentang Parti Warisan Sabah/Pakatan Harapan (PH).

Begitu juga katanya, kerusi yang dimenangi oleh UMNO semasa Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu juga perlu dipertahankan, sebagaimana contoh di dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di dalam Parlimen Kalabakan yang menang tetapi kedua-dua ADUN telah melompat ke Warisan.

“Contohnya pada PRU-14, di DUN Tanjung Batu dan DUN Sebatik, UMNO telah memenangi kedua-dua kerusi tersebut. Setelah itu kedua-dua ADUN tersebut telah melompat ke parti Warisan. Ini bermaksud kedua-kedua kawasan ini perlu dipertahankan oleh UMNO.

“Pada PRN kali ini, DUN Kukusan adalah tambahan kerusi hasil daripada persempadanan semula di Parlimen Kalabakan. Ini bermaksud ada empat kerusi DUN yang akan dipertandingkan di parlimen Kalabakan nanti,” jelasnya kepada UMNO Online.

Tambahnya juga, lokaliti pada DUN Kukusan merupakan pecahan daripada DUN Tanjung Batu, DUN Merotai dan DUN Sebatik.

“Oleh itu kerusi DUN Kukusan ini perlu meletakkan calon daripada UMNO memandangkan lokaliti pada kawasan tersebut mempunyai jentera UMNO yang kuat dan boleh memberikan kemenangan besar kepada calon UMNO nanti,” katanya.

Begitu juga dengan kedudukan DUN Merotai yang merupakan kubu kuat UMNO sebelum ini tetapi kalah setelah dipinjamkan kepada komponen BN pada PRU-14.

“ Kerusi Merotai itu berpotensi untuk dimenangi semula seandainya dipulangkan kembali kepada UMNO Kalabakan,” ujarnya.

Dalam perkembangan yang berkaitan, Andi amat yakin Bung bijak untuk menilai cadangan calon-calon yang dikemukakan bagi mewakili BN.

Berhubung dengan permintaan 45 kerusi oleh Bersatu Sabah, Andi yang juga Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia berkata ia agak tinggi dan merupakan keputusan yang dilihat tidak munasabah.

“Seandainya keputusan sudah dibuat, dan UMNO mempunyai banyak kerusi daripada yang lain dan begitu juga sebaliknya, semua perlu akur dan tiada khianat,” tegasnya.

Sebelum ini Pengerusi Bersatu Sabah, Datuk Hajiji Noor berkata, parti itu mahu bertanding di 45 kerusi DUN dalam PRN, sementara Ketua UMNO Sabah, Datuk Bung Moktar Radin pula berkata UMNO Sabah akan mempertahankan kesemua 32 kerusi DUN yang ditandinginya pada PRU-14 lepas. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.