Zahida Seru Ahli Puteri Bersama Teruskan Perjuangan, Siap Siaga PRU-15

KUALA LUMPUR, 3 Ogos – Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Datuk Zahida Zarik Khan menyeru semua ahlinya agar bersama-sama meneruskan perjuangan parti.

“Bangkitlah, teruslah bersetia, bersemangat.

“Sentiasa siap siaga berjuang bagi menghadapi peperangan dalam PRU-15 (Pilihan Raya Umum Ke-15) pada bila-bila masa,” katanya dalam satu kenyataan ringkas sempena ulang tahun sayap bongsu UMNO itu yang ke-19.

Untuk rekod, penubuhan Puteri UMNO dipersetujui secara prinsip oleh Majlis Tertinggi (MT) pada 10 Julai 2000, dan 16 Oktober tahun yang sama MT bersetuju secara rasmi menubuhkan Puteri UMNO sebagai sayap pergerakan, bertujuan untuk menarik lebih ramai golongan wanita muda menyertai UMNO dan pada 9 April 2001, Puteri UMNO dengan rasminya diperkenalkan kepada umum.

Pergerakan Puteri UMNO secara rasminya dilancarkan pada 3 Ogos 2001, diketuai oleh Datuk Seri Azalina Othman Said yang kini menjawat jawatan Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat dan Ahli Parlimen Pengerang.

Ketua Puteri UMNO kedua, Datuk Dr Noraini Ahmad, kini menjadi Ketua Wanita UMNO Malaysia selain Ahli Parlimen Kota Tinggi dan Menteri Pengajian Tinggi.

Manakala Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin menjadi Ketua Puteri UMNO yang ketiga, merupakan bekas Timbalan Menteri Kesihatan dan Timbalan Menteri Kerja Raya serta terkini dalam arena politik, beliau memegang jawatan sebagai Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO dan juga Exco Wanita UMNO Malaysia.

Ketua Puteri UMNO yang keempat pula disandang oleh Datuk Mas Ermieyati Samsudin, Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan Dan Koperasi serta Ahli Parlimen Masjid Tanah dan kini menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Zahida memegang jawatan Ketua Puteri UMNO Malaysia kelima sejak Jun 2018 bagi penggal 2018-2021. – UMNO ONLINE

Oleh: Zylan Moha

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.