Puteri Ada Elemen Terbilang Perteguhkan UMNO – Presiden

KUALA LUMPUR, 3 Ogos – “Sifat air yang lembut mampu melekukkan batu dan mereputkan besi. Elemen terbilang memperteguhkan UMNO.”

Demikian kata Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam catatan ringkasnya sempena ulang tahun Pergerakan Puteri UMNO yang genap berusia 19 tahun hari ini.

“Selamat Hari Ulang Tahun Penubuhan Pergerakan Puteri UMNO Malaysia ke-19,” ujarnya lagi.

Untuk rekod, Pergerakan Puteri UMNO secara rasminya dilancarkan pada 3 Ogos 2001, diketuai oleh Datuk Seri Azalina Othman Said yang kini menjawat jawatan Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat dan Ahli Parlimen Pengerang.

Secara prinsipnya, penubuhan Puteri UMNO dipersetujui prinsip oleh Majlis Tertinggi pada 10 Julai 2000, dan 16 Oktober tahun yang sama badan tertinggi parti itu bersetuju secara rasmi menubuhkan Puteri UMNO sebagai sayap pergerakan, bertujuan untuk menarik lebih ramai golongan wanita muda menyertai UMNO dan pada 9 April 2001, Puteri UMNO dengan rasminya diperkenalkan kepada umum.

Ketua Puteri UMNO kedua adalah Datuk Dr Noraini Ahmad, kini Ketua Wanita UMNO Malaysia selain Ahli Parlimen Kota Tinggi dan Menteri Pengajian Tinggi.

Berikutnya yang ketiga, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin, merupakan bekas Timbalan Menteri Kesihatan dan Timbalan Menteri Kerja Raya serta terkini dalam arena politik, beliau memegang jawatan sebagai Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO dan juga Exco Wanita UMNO Malaysia.

Manakala Ketua Puteri UMNO yang keempat pula ialah Datuk Mas Ermieyati Samsudin, Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan Dan Koperasi serta Ahli Parlimen Masjid Tanah yang kini menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Penyandang kelima, Datuk Zahida Zarik Khan memegang jawatan Ketua Puteri UMNO Malaysia sejak Jun 2018 bagi penggal 2018-2021. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.