PKPD Pentadbiran Di Empat Mukim Di Kedah Bermula Hari Ini – Ismail Sabri

KUALA LUMPUR, 3 Ogos – Kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara pentadbiran di empat mukim di negeri Kedah bermula hari ini hingga 30 Ogos, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Ismail Sabri berkata keputusan itu dibuat susulan 11 kes baharu COVID-19 yang berpunca daripada kluster PUI Sivagangga.

Memperincikan perkara itu, beliau berkata empat kawasan terbabit ialah Restoran Nasi Kandar Salleh di pekan Napoh, Kampung Pida Satu di Megat Dewa, Kampung Bendang Dalam Mukim Binjal di Kubang Pasu dan Kampung Ulu Sanai di Padang Terap yang kesemuanya terletak dalam radius satu kilometer dari restoran tersebut.

“Mesyuarat Khas Menteri-menteri Mengenai Pelaksanaan PKP hari ini meluluskan permohonan kerajaan negeri Kedah untuk melaksanakan PKPD secara pentadbiran di kawasan-kawasan tersebut.

“Pelaksanaan PKPD secara pentadbiran akan mengguna pakai prosedur operasi standard (SOP) sedia ada dengan tambahan sekatan jalan raya di setiap laluan keluar masuk dan penutupan beberapa jalan utama ke kawasan sekitar,” katanya pada sidang media perkembangan PKP Pemulihan di bangunan Parlimen di sini, hari ini.

Menurut laporan media, sehingga semalam, sebanyak 313 individu daripada kluster tersebut telah disaring dengan 20 dikesan positif COVID-19 sementara 280 individu negatif, manakala bakinya masih menunggu keputusan ujian.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata Kementerian Kesihatan akan menjalankan ujian saringan ke atas kira-kira 7,000 penduduk di kawasan terlibat.

Menurutnya, selain tadika, masjid serta rumah ibadat turut ditutup bagi aktiviti keagamaan termasuk solat Jumaat.

“Kebebasan bergerak mungkin boleh disekat jika kes meningkat seperti yang berlaku di Kedah dan perkara sama mungkin boleh berlaku di tempat lain. Justeru itu, rakyat perlu patuh SOP dan setiap larangan agar perkara seumpama ini tidak berlaku di tempat lain,” katanya. – BERNAMA