Kekuatan UMNO Terbit Dari Ahli Yang Setia, Akar Umbi Mahukan Muafakat Nasional

KUALA TERENGGANU, 3 Ogos – Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Najmil Faiz Mohamed Aris berkata ramai akan tumpang apabila parti berada dalam kedudukan kuat dan sebaliknya akan ditinggalkan apabila lemah.

Katanya, setelah 22 bulan menjadi pembangkang dan tidak mempunyai apa-apa ‘alat politik’ seperti dahulu, yang tinggal bagi UMNO hanyalah kesetiaan akar umbi.

“Kita menang banyak pilihan raya kecil (PRK) kerana sokongan dan gerak kerja akar umbi yang padu. Kekuatan UMNO dibina oleh ahli parti yang setia.

“Dalam pembahagian kerusi, aspek ini amatlah perlu ditekankan. Kerjasama dalam Muafakat Nasional (MN) adalah keutamaan kita. Itu yang akar umbi mahukan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambah Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu itu lagi, Barisan Nasional (BN) perlu mempelajari daripada kesilapan lalu.

“Beri kerusi banyak pada parti komponen pun akhirnya kalah pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lantas menyebabkan BN kalah.

“Lebih teruk, mereka meninggalkan gagasan BN dan yang tinggal hanyalah UMNO sahaja.

“Ada juga yang lompat parti untuk kepentingan sendiri dan masih lagi berharap untuk bertanding di kerusi UMNO. Jika ‘trend’ ini masih diteruskan, politik Malaysia tidak akan maju dan selamanya mundur,” tegasnya.

Justeru katanya, perkara yang perlu parti utamakan ialah kehendak akar umbi, hasrat rakyat dan harapan golongan muda yang dahagakan pembaharuan dan reformasi dalam politik negara.

“Soal ketelusan, integriti, tadbir urus yang baik dan ekonomi inklusif perlu dijadikan naratif baru dalam politik Malaysia,” katanya lagi. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.