PRN Sabah: Rundingan Agihan Kerusi UMNO-BERSATU Perlu Disegerakan – Ahmad Maslan

KOTA KINABALU, 2 Ogos – Isu pengagihan kerusi antara UMNO Sabah dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah perlu diselesaikan segera bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, kata Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan.

Beliau berkata rundingan antara kedua-dua parti itu perlu diselesaikan segera bagi membolehkan jentera pilihan raya parti masing-masing bersiap sedia menghadapi saingan dalam perebutan 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) itu.

“Rundingan ini perlu berdasarkan formula menang-menang…jangan menang-kalah atau kalah-kalah, dan penting rundingan itu perlu dilakukan dengan baik… tentang kerusi (DUN Sabah) mana yang ditandingi dan siapa yang bertanding.

“Itu perkara pokok, selepas itu barulah kita (UMNO Sabah) memikirkan soal calon. Semuanya hendaklah dibuat dengan cepat,” katanya ketika ditemui Bernama selepas menghadiri Mesyuarat Biro Politik UMNO Sabah di ibu pejabat UMNO negeri, di sini, hari ini.

Mesyuarat itu dipengerusikan oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Ahmad berkata beliau diminta oleh Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk memantau perkembangan PRN Sabah termasuk bertemu dengan jawatankuasa perhubungan di semua 25 bahagian UMNO di negeri ini.

Semalam, Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata parti itu mahu bertanding di 45 kerusi DUN dalam PRN sementara Bung Moktar pula berkata UMNO Sabah akan mempertahankan kesemua 32 kerusi DUN yang ditandinginya pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 2018.

Mengulas autonomi diberikan kepada UMNO Sabah dalam membuat persiapan dan menentukan calon bagi PRN, Ahmad berkata ia adalah satu tanggungjawab besar kepada Bung Moktar untuk memilih calon parti yang layak diketengahkan untuk bertanding pada pilihan raya kali ini.

DUN Sabah dibubarkan Khamis lalu bagi memberi laluan kepada PRN yang perlu diadakan sebelum 29 Sept ini.

Rabu lalu, bekas ketua menteri Tan Sri Musa Aman mendakwa mempunyai majoriti cukup untuk membentuk kerajaan negeri baharu tetapi Yang Dipertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin bersetuju membubarkan DUN atas permintaan Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Pada PRU14, sebanyak 60 kerusi DUN dipertandingkan namun pada Julai tahun lalu, Dewan Rakyat meluluskan usul tambahan 13 kerusi DUN Sabah.
BERNAMA

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.