PRN Sabah: Parti BERSATU Perlu Cermin Diri, Ukur Baju Di Badan Sendiri

KUALA LUMPUR, 2 Ogos – Parti BERSATU diingatkan agar sentiasa cermin diri dan mengukur baju di badan sendiri khususnya setelah ramai pimpinan daripada parti ini dilihat cuba meneguk di air keruh bagi isu kerusi Pilihan Raya Negeri di Sabah, tegas Exco Pemuda UMNO Malaysia, Azril Rizal Yusof Mohd Sarit.

Bidas beliau yang juga Ketua Pemuda UMNO Temerloh, janganlah kerana kuasa sementara yang ada di peringkat tertentu, BERSATU semakin angkuh hingga dilihat cuba bersungguh-sungguh menggunakan segala apa jua cara yang ada demi memastikan UMNO semakin dipinggirkan oleh BERSATU sendiri.

“Sebagai parti yang menjadi sebahagian daripada kerajaan yang didokong oleh UMNO sendiri di peringkat nasional, BERSATU wajar bertindak dengan lebih rasional, dan tidak bermain dengan api seperti cubaan mengeluarkan sebarang kenyataan yang cuba merendahkan pimpinan dan parti UMNO selain terus menunjukkan keangkuhan bagi merebut kerusi-kerusi yang ditandingi UMNO sebelum ini tanpa berbincang dahulu bersama pihak yang terlibat di dalam UMNO,” katanya dalam kenyataan berkaitan isu terbabit, hari ini.

Harus diingat katanya, waktu Pilihan Raya Umum ke 14 dahulu pun, berapa sahaja kerusi yang dimenangi oleh BERSATU ini?

“Kerusi yang dimiliki mereka pasca PRU 14, termasuk di Sabah itu pun kerana faktor mereka yang melompat parti. Bukan menang atas tiket BERSATU sendiri.

“Malah, sebelum ini kita dapat lihat bagaimana nasib BERSATU setelah diganyang oleh UMNO, Muafakat Nasional, dan Barisan Nasional dalam Pilihan Raya Kecil seperti di Semenyih dan Tanjung Piai.

“Janganlah kerana atas faktor Pengerusi BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menjadi Perdana Menteri, ahli-ahli BERSATU fikir dapat berbuat sesuka hati saja tanpa memikirkan UMNO.”

Katanya, harus diingat barangkali BERSATU ini hanya relevan cuma atas faktor Tan Sri Muhyiddin Yassin yang masih menjadi Perdana Menteri semata-mata.

“Justeru, teguran daripada beberapa pimpinan UMNO terhadap sikap BERSATU seperti daripada Ketua Penerangan UMNO sendiri, Saudara Shahril Hamdan dilihat tepat pada masanya dan kepada setiap pimpinan BERSATU seperti Saudara Wan Ahmad Fahysal yang masih cuba menegakkan benang yang basah dalam hal ini, sekali lagi diingatkan, sentiasa cermin diri dan mengukur baju di badan sendiri,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.