PN : UMNO Nyatakan Pendirian Dalam Dua Siri Mesyuarat Induk Muafakat Nasional

KUALA LUMPUR, 2 Ogos – Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata parti itu tegas membawa suara Majlis Tertinggi dan akar umbi yang tidak mahu UMNO menyertai Perikatan Nasional (PN) sebagai salah satu parti komponen, sekiranya PN ingin didaftarkan sebagai sebuah parti politik.

Menurut beliau perkara berkenaan dibawa dalam dua mesyuarat Jawatankuasa Induk Muafakat Nasional (MN).

Tegas beliau hampir keseluruhan kepimpinan di semua peringkat mahu UMNO kekal Barisan Nasional (BN) dan terus memperkukuhkan kerjasama dengan PAS dalam MN.

“Saya terpanggil untuk mengulas kenyataan Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan bahawa PAS tidak maklum akan keputusan UMNO enggan menyertai Perikatan Nasional. Ini kerana dalam dua Mesyuarat Jawatankuasa Induk (MN), UMNO tegas membawa suara Majlis Tertinggi dan Akar Umbi yang tidak mahu UMNO menyertai PN sebagai salah satu parti komponen, sekiranya PN ingin didaftarkan sebagai sebuah parti politik.

“Justeru, apa yang disuarakan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dalam kenyataan beliau baru-baru ini merupakan suara kolektif kepimpinan dan akar umbi UMNO,” katanya dalam satu kenyataan media, di sini, hari ini.

Asyraf seterusnya menambah bahkan pendirian ini juga telahpun dibangkitkan oleh barisan 11 orang kepimpinan yang mewakili UMNO dalam Jawatankuasa Induk Perundingan Muafakat Nasional yang turut disertai 11 kepimpinan tertinggi PAS.

“Namun sebagaimana yang ditegaskan, UMNO akan terus mempertahankan Kerajaan Perikatan Nasional sehingga PRU-15. Kesepakatan juga dicapai dengan kepimpinan PAS untuk terus memperkukuhkan MN tanpa sekelumit perasaan untuk menggagalkan Kerajaan PN yang dibentuk bersama demi rakyat dan negara,” ujarnya. – UMNO-Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.