KeTSA Perkukuh Pelaksanaan Kempen Selamatkan Harimau Malaya

KUALA LUMPUR, 30 Julai – Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) akan terus memperkukuhkan pelaksanaan Kempen Selamatkan Harimau Malaya bagi meningkatkan penglibatan semua pihak dalam menyokong usaha kerajaan untuk melindungi spesies terancam itu.

Menterinya Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah menyeru supaya semua pihak berganding bahu dan terus berusaha untuk melindungi dan memulihara Harimau Malaya yang merupakan khazanah negara yang tidak ternilai.

“Usaha melindungi Harimau Malaya bukanlah merupakan tugas kerajaan atau sesetengah pihak semata-mata, tetapi menjadi tanggungjawab kita semua,” katanya dalam perutusan sempena Hari Harimau Sedunia yang disambut semalam.

Bagaimanapun, Shamsul Anuar berkata Malaysia akan kehilangan Harimau Malaya buat selama-lamanya jika usaha tidak diambil untuk melindunginya.

“Harimau Malaya diancam kepupusan dan data menunjukkan populasi Harimau Malaya berada pada tahap yang sangat membimbangkan iaitu kurang daripada 200 ekor. Pengurangan populasi Harimau Malaya adalah disebabkan beberapa faktor seperti kehilangan kawasan habitat dan keliaran akibat aktiviti pembukaan hutan dan perubahan guna tanah,” katanya.

Selain itu, katanya, Harimau Malaya juga menjadi sasaran utama aktiviti pemburuan dan perdagangan haram disebabkan permintaannya yang tinggi di pasaran gelap.

Shamsul Anuar berkata pelbagai usaha telah dilaksanakan oleh KeTSA melalui Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dengan kerjasama kerajaan negeri, agensi penguatkuasaan serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi membanteras pemburuan haram Harimau Malaya.

Katanya, antara program yang dilaksanakan Program Perlindungan dan Rondaan Biodiversiti bermula Jun lepas yang merupakan pengukuhan Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) melibatkan Perhilitan, Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM), PDRM, Perbadanan Taman Negeri Perak (PTNP), Perbadanan Taman Negeri Johor (PTNJ) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Hari Harimau Sedunia 2020 yang merupakan acara tahunan sejak 2010 oleh negara-negara “Tiger Range Countries” (TRCs) termasuk Malaysia bagi memupuk dan meningkatkan kesedaran masyarakat dunia mengenai kepentingan menjaga, memelihara dan memulihara spesies harimau. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.