PKPP: Polis Pantau Pematuhan SOP Semasa Aidiladha

PUTRAJAYA, 30 Julai – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memantau pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) semasa perayaan Aidiladha yang disambut umat Islam esok.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata pemantauan bukan sahaja akan dibuat di masjid, surau dan kawasan penyembelihan tetapi juga di rumah-rumah.

“PDRM akan berada di setiap kampung untuk memantau pematuhan SOP termasuk di rumah-rumah seperti yang dilakukan pada Hari Raya Aidilfitri tempoh hari.

“Seperti diumumkan sebelum ini, jamuan makan di rumah sempena sambutan Hari Raya Aidiladha adalah dihadkan kepada 20 orang pada satu-satu masa,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Beliau turut mengingatkan orang ramai agar tidak alpa dalam kemeriahan menyambut Aidiladha dan sentiasa mengamalkan pemakaian pelitup muka dan penjarakan sosial.

Dalam perkembangan lain, Ismail Sabri berkata bermula 1 Ogos, kerajaan telah mewajibkan pemakaian pelitup muka di dalam kenderaan awam dan tempat yang sesak seperti pasar, namun tindakan penguatkuasaan bergantung kepada budi bicara PDRM.

“Pelaksaaan bergantung kepada budi bicara pihak polis. Pada peringkat awal biasanya menasihati dengan secara berhemah, bagaimanapun tindakan terserah kepada pihak PDRM.

“Apabila arahan itu sudah diwartakan di bawah Akta 342, polis boleh guna kompaun serta merta atau budi bicara,” katanya.

Sementara itu mengenai perkembangan pematuhan SOP semasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan, beliau berkata semalam PDRM telah melakukan 1,711 pemeriksaan terhadap individu yang sedang menjalankan kuarantin wajib 14 hari di kediaman masing-masing.

Menurut beliau, PDRM bersama petugas Kementerian Kesihatan akan sentiasa membuat pemeriksaan dan pemantauan terhadap individu-individu yang menjalani kuarantin di rumah bagi memastikan SOP dipatuhi.

Beliau berkata kerajaan memandang serius insiden-insiden ketidakpatuhan SOP kuarantin di rumah yang telah menyebabkan penularan jangkitan COVID-19 kepada ahli keluarga dan juga masyarakat sekeliling.

“Orang ramai diminta melaporkan kepada PDRM sekiranya terdapat individu dengan gelang tangan kuarantin di tempat-tempat awam.

“Dalam hal ini, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada warga Butterworth, Pulau Pinang yang berwaspada dan peka dalam mengenal pasti individu dengan gelang tangan kuarantin yang cuba berbaris di sebuah bank baru-baru ini.

“Saya juga ingin merakamkan penghargaan kepada pengawal keselamatan bank itu kerana pantas mengambil tindakan untuk menghalang indvidu itu daripada memasuki bank,” katanya. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.