Melaka Sedang Atur Program Patriotisme Berskala Kecil Sempena Bulan Kebangsaan

MELAKA, 28 Julai – Kerajaan Negeri Melaka sedang mengatur pelbagai program patriotisme berskala kecil sepanjang sambutan Bulan Kebangsaan sebagai usaha menyemarakkan semangat cintakan negara dalam kalangan rakyat.

Ketua Menteri Datuk Sulaiman Md Ali berkata walaupun tidak ada acara perbarisan sempena sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos ini, namun majlis dan aktiviti berunsurkan patriotik termasuk program keagamaan serta majlis ilmu boleh dilaksanakan.

“Walaupun program yang diatur agak terhad disebabkan pandemik COVID-19, kerajaan negeri akan melaksanakan antaranya majlis kesyukuran dan bacaan Yassin serta Khutbah Jumaat sempena Bulan Kebangsaan yang akan diadakan dalam skala yang kecil.

Apa yang penting, dalam menyemai rasa cinta kepada negara, kita mestilah terus patuh dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dan jangan persiakan usaha dan titik peluh barisan ‘pejuang negara’,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2020 peringkat negeri Melaka di Auditorium Seri Negeri, di sini hari ini.

Beliau berkata sebagai menghargai jasa pejuang terdahulu yang berkorban untuk negara, rakyat negeri ini boleh menzahirkan tanda terima kasih melalui pemasangan Jalur Gemilang di bangunan atau rumah masing-masing.

“Saya difahamkan Jabatan Penerangan Melaka akan mengedarkan kira-kira 6,000 Jalur Gemilang kepada rakyat di negeri ini. Justeru itu saya menyeru kepada semua agar dapat bersama-sama menunjukkan semangat patriotik dengan mengibarkan Jalur Gemilang.

Kibarkannya bukan sahaja di bangunan kerajaan, malah di premis swasta dan rumah kediaman bagi mempamerkan rasa bangga kerana menjadi rakyat Malaysia iaitu sebuah negara yang aman, merdeka dan berdaulat,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.