Sebuah Lagi Pusat Rehabilitasi Perkeso Dibina Di Perak – Saravanan

MELAKA, 27 Julai – Sebuah lagi Pusat Rehabilitasi Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) akan dibina di negeri Perak dalam masa terdekat, kata Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M. Saravanan.

Beliau berkata pusat rehabilitasi itu akan dijadikan sebagai Pusat Robotik Negara kerana ia akan dilengkapi dengan pelbagai teknologi berasaskan robotik dan kemudahan canggih bagi membantu Orang Berinsurans Perkeso menjalani rawatan di pusat berkenaan.

Katanya, Pusat Rehabilitasi Perkeso itu merupakan kedua di negara ini selepas Pusat Rehabilitasi Perkeso Tun Abdul Razak di Hang Tuah Jaya di sini, bagi menampung keperluan Orang Berinsurans Perkeso untuk mendapatkan perkhidmatan rehabilitasi khususnya mereka dari utara.

“Pembinaan Pusat Rehabilitasi Perkeso di Perak akan menjadi sebuah pusat rehabilitasi yang lebih baik dan canggih dari segi kemudahan dan perkhidmatan untuk Orang Berinsurans menjalani rawatan mereka.

“Pembinaan ini akan disegerakan secepat yang mungkin memandangkan sebahagian besar daripada pesakit yang mendapatkan rawatan di Pusat Rehabilitasi Perkeso Tun Abdul Razak di Melaka adalah dari utara,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, beliau menghadiri lawatan Sultan Perak Sultan Nazrin Shah yang berkenan berangkat ke pusat itu bagi melihat sendiri pelbagai kemudahan disediakan antaranya pusat neuro-robotics rehabilitation and cybernics, sebuah pusat rehabilitasi mengguna pakai teknologi robotik dari Jepun iaitu Hybrid Assistive Limb (HAL) yang pertama seumpamanya di Asia Tenggara.

Pusat Rehabilitasi Perkeso Tun Abdul Razak terletak dalam kawasan seluas 22.26 hektar, mula beroperasi pada 1 Okt 2014 bertujuan membantu Orang Berinsurans Perkeso dan golongan pekerja untuk dipulihkan secara fizikal dan vokasional sehingga kembali ke alam pekerjaan serta masyarakat dengan keupayaan yang maksimum. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.