Mesyuarat Pertama J/Kuasa Muafakat Nasional Johor Bincang Pengukuhan Kerjasama UMNO-PAS

ISKANDAR PUTERI, 27 Julai – Mesyuarat pertama Jawatankuasa Muafakat Nasional Johor hari ini berkisar kepada soal pengukuhan hubungan UMNO dan PAS di negeri ini menerusi pelbagai program di peringkat akar umbi.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor Datuk Ir Hasni Mohammad berkata soal pengagihan kerusi bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) tidak dibincangkan.

“Hari ini (mesyuarat) adalah supaya kerjasama antara UMNO dan PAS diperkukuhkan,” kata Menteri Besar Johor itu kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat berkenaan semalam yang turut dihadiri Pesuruhjaya PAS Johor Abdullah Husin.

Beliau berkata mesyuarat hari ini bersetuju supaya Johor terus mempertahankan kerjasama dan mendokong Muafakat Nasional di peringkat negeri ini menerusi pembentukan jawatankuasa pemantau dan jawatankuasa pelaksana.

“Tujuan penubuhan jawatankuasa pemantau dan pelaksana adalah untuk menjalankan program dan melaksanakan beberapa tanggungjawab termasuk memantau program dilaksana di bahagian atau kawasan,” katanya.

“Di peringkat negeri ditubuhkan jawatankuasa pemantau manakala di peringkat bahagian, ditubuhkan jawatankuasa pelaksana,” katanya dengan menambah jawatankuasa pemantau itu masing-masing dianggotai 12 anggota daripada UMNO dan 12 daripada PAS. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.