Tuduhan Berat, Pemuda UMNO Sabah Tuntut Dr Latiff Minta Maaf Atau Letak Jawatan

KUALA LUMPUR, 8 Julai – Pemuda UMNO Sabah menuntut agar Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad memohon maaf daripada semua ahli-ahli UMNO seluruh negara dan berjanji untuk tidak mengulanginya lagi kenyataannya.

Ketuanya, Ir. Abdul Aziz Julkarnain berkata kenyataan Dr. Abdul Latiff bahawa UMNO sudah tidak laku dalam konteks Sabah adalah satu tuduhan yang cukup berat dan tidak bertanggungjawab

“Bagi pihak Pemuda UMNO Sabah, saya terpanggil untuk menjawab tuduhan Dr.Latiff, iaitu seorang Menteri persekutuan yang bernasib baik dilantik sebagai menteri kerajaan Perikatan Nasional (PN) di bawah kepimpinan YAB TS Muhyiddin Yassin atas ehsan sokongan UMNO/BN dan parti-parti lain.

“Saya tidak dapat menggarap niat dan maksud sebenar disebalik kenyataannya untuk memburuk-burukkan UMNO terutamanya ketika kerajaan PN amat bergantung terhadap sokongan daripada semua parti termasuklah UMNO yang mempunyai ahli parlimen yang terbanyak dalam koalisi kerajaan yang baharu ini,” katanya dalam kenyataan membidas dakwaan Dr. Abdul Latiff.

Katanya, dengan majoriti nipis yang dinikmati kerajaan PN pada hari ini, Dr. Abdul Latiff perlu sedar tentang keperluan untuk memperkukuhkan koalisi dalam PN adalah satu keutamaan yang paling utama.

“Dengan membuat tuduhan-tuduhan yang tidak baik dan menyinggung perasaan rakan-rakan koalisi, terutamanya UMNO, ianya tidak akan membantu malah sudah tentu akan membantutkan usaha-usaha memperkukuhkan kerajaan PN.”

Tegasnya, sekiranya Dr. Abdul Latiff degil untuk membuat permohonan maaf, Pemuda UMNO Sabah tidak akan teragak-agak untuk mendesak YAB Perdana Menteri agar menukarkannya dengan Menteri yang lebih peka dan bertanggungjawab.

“Pemuda UMNO Sabah berharap isu ini dapat diselesaikan secara damai dan segera agar semua pihak dapat fokus untuk memperkukuhkan kerajaan PN ini.

“Oh ya, sebelum kami terlupa, untuk menjawab persoalan siapa laku dan siapa tidak laku, bolehlah lihat rekod enam pilihan raya-pilihan raya kecil yang berlaku di negara ini sebagai rujukan,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.