PRK Chini Boleh Jadi Contoh Pilihan Raya Dalam Keadaan Harmoni

PEKAN, 5 Julai – Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini yang dilaksanakan dalam keadaan kebiasaan baharu boleh menjadi panduan kepada pelaksanaan pilihan raya lain di negara ini untuk berjalan dalam suasana amat tenang dan harmoni.

Ketua Polis Pahang Datuk Abd Jalil Hassan berkata sejak hari penamaan calon pada 20 Jun lepas sehingga hari pengundian semalam, tiada insiden tidak diingini berlaku mahupun kejadian yang boleh menggugat keselamatan menyebabkan beliau secara peribadi amat berpuas hati dengan perjalanan PRK itu.

“Tapi apa yang paling penting ialah semua pihak termasuk pengundi amat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) baharu yang diperkenalkan pada PRK ini memandangkan negara masih berada dalam situasi pandemik wabak COVID-19.

“Kita berterima kasih kepada semua kerana memberikan kerjasama yang sangat baik sekali gus membantu memudahkan tugasan polis,” katanya kepada Bernama.

Abd Jalil berkata seramai 718 pegawai dan anggota daripada kontinjen Pahang ditugaskan sepanjang PRK itu berlangsung dan pihaknya hanya menerima dua laporan polis setakat malam tadi.

Laporan itu melibatkan kelakuan penyokong seorang calon yang didakwa membuat bising pada hari penamaan calon dan laporan oleh seorang calon Bebas yang mendakwa gambarnya disalah guna kononnya dirinya mewakili sebuah parti politik yang tidak bertanding pada PRK itu.

Pada PRK itu, calon Barisan Nasional (BN) Mohd Sharim Md Zain menang dengan majoriti 12,650 selepas memperoleh 13,872 undi menewaskan dua calon Bebas, Tengku Datuk Zainul Hisham Tengku Hussin, 64, yang mendapat 1,222 undi dan Mohd Shukri Mohd Ramli memperoleh 137 undi. – BERNAMA

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.