PRK Chini: Proses Mengundi Tamat

PEKAN, 4 Julai – Proses pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini yang berlangsung dalam kebiasaan baharu akibat pandemik COVID-19 tamat pada pukul 5.30 petang ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesahkan setakat 4 petang, peratusan keluar mengundi ialah sebanyak 72 peratus daripada 20,816 pemilih berdaftar yang layak menunaikan tanggungjawab itu di 13 pusat mengundi yang mula dibuka sejak 8 pagi tadi.

Pegawai Pengurus PRK Datuk Zaliza Zulkipli dijangka mengumumkan wakil rakyat baharu DUN Chini di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Pekan dekat sini, malam ini.

Untuk PRK DUN Chini, seramai 17 daripada 18 anggota polis telah menunaikan tanggungjawab mereka pada 30 Jun lepas, manakala 156 pemilih lagi telah menerima kertas undi pos daripada SPR selepas didapati memenuhi kriteria yang ditetapkan.

Tiga belas pusat mengundi yang dibuka ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Mambang, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Paloh Hinai, SK Kinchir, Dewan Mempelas Kampung Baru PPSK Salong, SK LKTP Chini Timur 1, SMK Chini Timur, Balai Raya Kampung Dusun, SK LKTP Chini Timur 2, SK LKTP Chini 3 dan 5, SK LKTP Chini 1 dan 4, Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) Felda Chini 3, Sekolah Agama Rakyat (KAFA) Nur Ilham Felda Chini 1 dan SMK Chini 2.

PRK DUN Chini merupakan pilihan raya kecil ke-11 selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) dan merupakan yang pertama buat Perikatan Nasional (PN) selepas mengambil alih kepimpinan negara daripada Pakatan Harapan pada Mac lepas.

PRK ini mencatat sejarah sebagai pilihan raya berlangsung dalam kebiasaan baharu yang melibatkan pelbagai perubahan dilakukan untuk disesuaikan dengan situasi semasa bagi mengelakkan berlaku ‘kluster pilihan raya’.

Antaranya pemeriksaan suhu badan sebelum pengundi dibenarkan masuk ke pusat mengundi, penggunaan pelitup muka dan cecair pembasmi kuman serta pengambilan rekod kehadiran sama ada menggunakan aplikasi MySejahtera atau secara manual oleh kakitangan SPR.

Selain SPR, antara yang paling sibuk sepanjang hari ini ialah pegawai dan anggota polis bagi memastikan aspek jarakan sosial dipatuhi pengundi selain setiap pusat mengundi ‘dilengkapi’ kakitangan Jabatan Kesihatan sebagai langkah persediaan jika terdapat pengundi yang bergejala.

PRK DUN Chini menyaksikan Barisan Nasional (BN) mempertaruhkan generasi kedua Felda Chini, Mohd Sharim Md Zain, 41, untuk mempertahan kerusi DUN itu dalam pertandingan tiga penjuru dengan dua calon Bebas iaitu ahli perniagaan Tengku Datuk Zainul Hisham Tengku Hussin, 64, dan Mohd Shukri Mohd Ramli, 49, yang merupakan penulis blog.

PRK itu diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Seri Abu Bakar Harun, 60, di Hospital Kuala Lumpur akibat serangan jantung pada 7 Mei lepas. Abu Bakar merupakan penyandang kerusi DUN Chini sejak PRU11 pada 2004.

Pada PRU14, Abu Bakar mempertahankan kerusi DUN Chini dengan majoriti 4,622 undi selepas memperoleh 10,027 undi menewaskan calon PAS Mohd Fadhil Noor Abdul Karim (5,405) dan Mohamad Razali Ithnain daripada PKR (1,065). – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.