PRK Chini Berjalan Lancar Tetapi Agak Perlahan Patuhi SOP

PEKAN, 4 Julai – Secara keseluruhan perjalanan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini hari ini berjalan lancar walaupun agak perlahan berikutan prosedur operasi standard baharu yang diperkenalkan untuk mengelakkan penularan wabak COVID-19.

Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Dr Azmi Sharom berkata 23 peratus daripada 20,816 pengundi telah selesai menjalankan tanggungjawab mereka setakat 10 pagi tadi.

“Kami telah mengadakan lawatan tempat mengundi dan mendapati semua SOP yang ditetapkan dipatuhi dengan memuaskan, cuma yang agak susah untuk dikawal jarakan sosial.

“Namun secara amnya, semasa pengundi menunggu masuk dan berada di dalam bilik mengundi, SOP dipatuhi dengan elok…cuma ia agak perlahan sebab ada proses baharu termasuk memakai pakai sarung tangan dan sebagainya, jadi proses agak perlahan berbanding biasa,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa meninjau proses pengundian di Dewan Semai Bakti Felda Chini 3, dekat sini hari ini.

Azmi turut berpuas hati kerana proses pengundian kali ini berjalan tanpa sebarang kejadian yang tidak diingini melibatkan penyokong calon yang bertanding.

Beliau berkata PRK kali ini juga menjadi medan terbaik untuk SPR mengkaji SOP baharu yang diperkenalkan dan menambah baik jika perlu untuk dilaksanakan semasa Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

“PRK Chini merupakan peluang keemasan untuk kami kaji SOP yang ada dan perbaiki kalau PRU akan datang diadakan semasa tempoh COVID-19. Mesti ada persiapan sebegini dan kami akan mengadakan perbincangan dengan Kementerian Kesihatan untuk penambahbaikan,” katanya.

PRK DUN Chini diadakan ekoran kematian penyandangnya Datuk Seri Abu Bakar Harun, 60, pada 7 Mei lalu di Hospital Kuala Lumpur akibat serangan jantung. Abu Bakar menjadi wakil rakyat kawasan itu sejak PRU ke-11 (PRU11) pada 2004.

PRK Chini menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN) Mohd Sharim Md Zain, 41, dan dua calon Bebas iaitu Tengku Datuk Zainul Hisham Tengku Hussin, 64, dan Mohd Shukri Mohd Ramli, 49.

Pada PRU14 lalu, Abu Bakar, yang mewakili BN, menang dengan majoriti 4,622 undi selepas memperoleh 10,027 undi menewaskan calon PAS Mohd Fadhil Noor Abdul Karim yang mendapat 5,405 undi manakala Mohamad Razali Ithnain daripada PKR sekadar memperoleh 1,065 undi. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.