PRK Chini: 72 Peratus Keluar Mengundi Sehingga 4 Petang, Atasi Sasaran SPR

PEKAN, 4 Julai – Sebanyak 72 peratus daripada 20,816 pengundi biasa bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan (DUN) Chini, telah menunaikan tanggungjawab mereka setakat 4 petang ini.

Dengan jumlah peratusan terkini dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) itu, kehadiran pengundi itu mengatasi sasaran awal SPR, iaitu 70 peratus pada PRK kali ini.

Proses pengundian di semua 13 pusat mengundi membabitkan 65 saluran dibuka dari 8 pagi hingga 5.30 petang ini.

Menurut Timbalan Pengerusi SPR Dr Azmi Sharom sewaktu meninjau proses pengundian di pusat mengundi, hasil lawatan beliau mendapati semua prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan berikutan proses pilihan raya, dijalankan secara normal baharu bagi mengekang ancaman COVID-19, dipatuhi dengan memuaskan.

Namun, katanya hanya satu aspek iaitu jarakan sosial agak susah untuk dikawal.

Dalam aspek keselamatan pula, tiada kes gangguan berlaku dengan polis turut menempatkan anggota polis trafik ditempatkan di lokasi-lokasi berhampiran semua pusat mengundi.

Tiada sekatan jalan raya dibuat ketika ini tetapi apabila pusat mengundi ditutup petang nanti, Jalan Kuantan-Segamat yang menghala ke pusat penjumlahan undi di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Pekan, sekatan jalan raya akan dilakukan.

Tujuannya ialah pihak berkuasa tidak mahu penyokong hadir ke pusat penjumlahan undi, kecuali bagi yang mempunyai pas khas yang dikeluarkan.

PRK DUN Chini diadakan ekoran kematian penyandangnya Datuk Seri Abu Bakar Harun, 60, pada 7 Mei lalu di Hospital Kuala Lumpur akibat serangan jantung. Abu Bakar menjadi wakil rakyat kawasan itu sejak PRU ke-11 (PRU11) pada 2004.

PRK Chini menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN) Mohd Sharim Md Zain, 41, dan dua calon Bebas iaitu Tengku Datuk Zainul Hisham Tengku Hussin, 64, dan Mohd Shukri Mohd Ramli, 49.

Pada PRU14 lalu, Abu Bakar yang mewakili BN, menang dengan majoriti 4,622 undi selepas memperoleh 10,027 undi menewaskan calon PAS Mohd Fadhil Noor Abdul Karim yang mendapat 5,405 undi manakala Mohamad Razali Ithnain daripada PKR sekadar memperoleh 1,065 undi. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.