Pengundi Chini Dapat Buat Penilaian Terbaik, Pilihlah BN – Reezal

PEKAN, 3 Julai – Pengundi di kawasan Chini pada dasarnya telah dapat melihat dan membuat penilaian yang terbaik untuk memilih parti manakah yang menjadi pilihan mereka pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) tersebut esok.

Justeru bagi Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican walaupun Barisan Nasional (BN) ada kekurangan, namun jelas pengundi telah melihat bahawa yang boleh membela mereka adalah BN.

“Pengundi dah melihat bahawa yang boleh membela rakyat adalah BN dan BN pun tidaklah sempurna, BN juga ada kekurangan… namun BN ada kesungguhan, ada rasa peduli kepada rakyat.

“Kuasa Allah SWT… terbukti dalam tempoh berdepan dengan COVID-19 bagaimana rakyat begitu terbela dan walaupun menerusi kerajaan Perikatan Nasional tetapi komponen yang ada di dalam itu juga adalah BN. Pemimpin-pemimpin BN dan rakan lain sebenarnya yang memberi keyakinan yang lebih kepada pengundi memilih dan saya yakin bahawa pengundi tidak lagi mahu diimbau dengan igauan ketika berada di bawah pemerintahan PH yang cukup memeritkan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada UMNO-Online selepas mengadakan ramah mesra bersama pengundi di Kampung Gumum, semalam.

Reezal yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO seterusnya mengingatkan jentera parti agar jangan terlalu selesa dan dalam tempoh masa yang tinggal, kempen mestilah berterusan.

“Kepada jentera jangan selesa… insya-Allah kita akan memperolehi keputusan manis yang akan kita dapat perolehi setelah segala pahit jerit yang akan dibayar dengan harga yang cukup lumayan dengan kemenangan yang lebih besar.

“Saya tidak suka untuk mendabik dada, namun melihatkan dengan kesungguhan gerak kerja yang dilakukan oleh jentera parti dan hari ini pun kita dapat lihat jentera pelbagai peringkat keseluruhannya memberi satu keyakinan bahawa insya-Allah kita akan mencapai kemenangan yang besar. Ini permulaan kepada sebarang kemungkinan yang bakal kita hadapi,” ujarnya lagi.- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.