PRK Chini: Tindakan Tepat BN Letak Calon Muda

PEKAN, 2 Julai – Keputusan Barisan Nasional (BN) meletakkan calon muda pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini disifatkan tindakan yang tepat dalam usaha mempertahankan DUN berkenaan selaku kawasan kubu kuat parti itu.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata ini kerana golongan belia merupakan pengundi majoriti di DUN itu dan calon BN Mohd Sharim Md Zain diterima baik pengundi serta penduduk di kawasan itu.

“Saya cukup bangga sebagai Menteri Belia dan Sukan bahawa calon ini datang daripada calon pertubuhan belia yang merupakan Presiden Belia Felda (kawasan).

“(Boleh dilihat penerimaan calon) daripada reaksi dalam kalangan rakyat tempatan… tanpa perlu mendabik dada, mudah-mudahan ini akan jadi petanda awal. Reaksi yang diberikan itu memberikan isyarat bahawa Chini akan tetap dipertahankan dan mudah-mudahan juga diberikan kemenangan yang cukup meyakinkan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas siri kempen PRK DUN Chini di Paloh Hinai dekat sini, hari ini.

Turut bersamanya, dua jaguh silat negara Mohd Al Jufferi Jamari, 27, dan Azim Amzad, 21. Azim adalah pengundi DUN Chini dari Felda Chini Timur 3.

PRK DUN Chini, yang dijadualkan Sabtu ini, menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Mohd Sharim, 41, dan dua calon Bebas, Tengku Datuk Zainul Hisham Tengku Hussin, 64, serta Mohd Shukri Mohd Ramli, 49.

DUN Chini, iaitu satu daripada empat DUN di bawah Parlimen Pekan, mempunyai 20,990 pengundi yang terdiri daripada 20,972 pengundi biasa dan 18 pengundi awal polis, dengan pengundi berusia bawah 40 tahun adalah majoriti, mewakili 56 peratus. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.