PRK Chini: Japen Laksana Program ‘Info On Wheel’ Buat Hebahan Pengundian

PEKAN, 2 Julai – Jabatan Penerangan (JaPen) Negeri Pahang melaksanakan program ‘Info On Wheels’ (IOW) untuk membuat hebahan mengajak pemilih berdaftar bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini, supaya keluar mengundi Sabtu ini.

Pegawai lapangannya, Mohd Faizul Effendy berkata enam unit kenderan IOW digerakkan ke 13 Pusat Daerah Mengundi (PDM), bagi melaksanakan program berkenaan selama dua hari sehingga esok, bermula dari pukul 10 pagi hingga 5 petang.

“Dalam hebahan ini, kami maklumkan mengenai kepentingan menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi selain perlu mematuhi SOP (prosedur operasi standard) khas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“… dan paling penting, (buat pengundi) semak pusat mengundi yang ditentukan untuk mereka selain membawa dokumen penting bersama ketika pendaftaran,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

PRK DUN Chini menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN) Mohd Sharim Md Zain, 41, dan dua calon Bebas, Tengku Datuk Zainul Hisham Tengku Hussin, 64, dan Mohd Shukri Mohd Ramli, 49.

Daftar pemilih bagi PRK DUN Chini mengandungi 20,990 pengundi yang terdiri daripada 20,972 pengundi biasa serta 18 pengundi awal polis, dan SPR menyasarkan 70 peratus pemilih berdaftar PRK DUN Chini akan keluar mengundi Sabtu ini. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.