PRK Chini: Calon BN Tumpu Gugusan Felda Chini Bagi Pecutan Terakhir Kempen

PEKAN, 2 Julai – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini Mohd Sharim Md Zain telah bertemu kira-kira 80 peratus daripada keseluruhan pengundi dalam DUN itu, sewaktu kempen beliau.

Dengan tinggal dua hari lagi tempoh berkempen, beliau kini mempergiat kempen untuk bertemu seberapa ramai pengundi dan penduduk dalam DUN itu.

Mohd Sharim, 41, berkata bagi pecutan terakhir kempennya dalam PRK ini juga, beliau akan memberi tumpuan bagi bertemu pengundi di lapan Felda di Gugusan Felda Chini.

“Saya akan terus berkempen sehingga sebelum pukul 12 tengah malam esok bagi mencapai sasaran berjumpa semua pengundi. Saya memilih untuk menumpukan untuk bertemu pengundi di Gugusan Felda Chini kerana telah berjumpa kesemua pengundi di kampung Orang Asli dan kampung tradisi seperti yang dijadualkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika program ramah mesra bersama pengundi di Felda Chini Timur 1, di sini hari ini, dengan diiringi Ketua UMNO Bahagian Maran Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin.

Mohd Sharim berkata jenteranya juga berkempen bagi memastikan kira-kira 8,000 pengundi DUN Chini yang tinggal di luar kawasan DUN supaya pulang mengundi Sabtu ini.

“Semalam, telah diadakan program ramah mesra bersama pengundi DUN Chini di Kuantan dan Putrajaya di mana kira-kira 200 pengundi hadir,” katanya.

Dalam pada itu beliau menganggap dua calon Bebas yang turut bertanding dalam PRK itu berkempen secara positif sepanjang tempoh berkempen bermula selepas proses penamaan pada 20 Jun lepas.

“Saya lihat calon Bebas positif dalam aspek berkempen dengan tidak burukkan satu sama lain dan masing-masing bergerak berkempen untuk meraih undi daripada pengundi-pengundi di sini,” katanya.

PRK DUN Chini menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Mohd Sharim, 41, dan dua calon Bebas Tengku Datuk Zainul Hisham Tengku Hussin, 64, dan Mohd Shukri Mohd Ramli, 49.

PRK DUN Chini, satu daripada empat DUN di bawah Parlimen Pekan, diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Seri Abu Bakar Harun pada 7 Mei lepas.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14, Abu Bakar mempertahankan kerusi DUN Chini dengan majoriti 4,622 undi selepas memperoleh 10,027 undi, menewaskan calon PAS Mohd Fadhil Noor Abdul Karim (5,405) dan Mohamad Razali Ithnain dari PKR (1,065).

Terdapat 20,990 pemilih berdaftar terdiri daripada 20,972 pengundi biasa dan 18 pengundi awal. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.