Ingat Jasa Tun Razak, 112 Ribu Keluarga Keluar Dari Kepompong Kemiskinan – Ahmad Maslan

PEKAN, 2 Julai – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata kewujudan rancangan Felda hasil idea Perdana Menteri Kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein adalah satu jasa yang amat besar sekali.

Katanya, lebih bermakna lagi, model pembangunan manusia tersebut secara langsung telah mengeluarkan 112,000 keluarga dari belenggu kemiskinan.

“112,000 itu masuk sahaja Felda, boleh dianggap tidak lagi miskin… Mana ada orang yang ada tanah sepuluh ekar dipanggil miskin? Tiada bukan? Mana ada orang yang ada suku ekar tanah tapak rumah dan rumah dipanggil miskin? Tidak.

“Saya pun tak tahu dari mana Allahyarham Tun Abdul Razak dapat ilham wujudkan Felda. Sebab dalam dunia ini tidak ada satu pun projek pembangunan manusia semacam kawasan Felda. Tentunya Allah SWT memberi beliau ilham. Di Malaysia sahaja ada,” katanya lagi ketika berucap di Majlis Pemimpin Bersama Masyarakat di Felda Chini Timur 2, di sini, Rabu malam.

Tambah Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian, ketika zaman Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak menjadi menteri yang menjaga Felda dan Perdana Menteri Keenam, Najib menyambung legasi perjuangan ayahandanya membela dan membangunkan Felda dengan memperkenalkan pelbagai program.

Antaranya seperti pembangunan kawasan kebun, menaik taraf rumah kediaman, mewujudkan perumahan generasi kedua, gedung makanan negara, pertandingan keceriaan kawasan rancangan yang dengan hadiah bernilai RM1 juta, melahirkan generasi kedua yang profesional dan berkemahiran, menaik taraf infrastruktur dan lain-lain lagi.

Selain di Felda Chini Timur 2, Ahmad turut hadir ke majlis Pemimpin Bersama Masyarakat di Felda Chini 3 dan Chini 4.

Menyentuh mengenai Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini, Ahmad menyeru anak-anak muda yang berada di perantauan supaya pulang mengundi pada Sabtu ini dan memilih Barisan Nasional (BN).

Katanya, pengundi luar DUN Chini yang mempunyai kira-kira 8,500 orang atau lebih kurang 42 peratus dari jumlah keseluruhan pengundi antara faktor terbesar bagi BN memperolehi majoriti yang besar, sebagaimana harapan Najib selaku Ahli Parlimen Pekan dan juga Pengarah Operasi PRK.

“Kenapa pentingnya PRK ini? Penting kerana kita inginkan wakil yang boleh membangunkan kawasan. Negara kita ini kaedahnya wakil rakyat yang membawakan segala urusan rakyat untuk membangunkan kawasan setempat.

“Wakil rakyat (BN) sama ada ketika bersidang DUN atau tidak bersidang boleh mengetuk pintu pejabat menteri besar bila-bila masa yang sesuai. Wakil rakyat akan bawa surat-surat kita, permohonan kita dan menyelesaikan masalah kita,” katanya dalam satu majlis Pemimpin Bersama Masyarakat di Felda Chini Timur 2, malam tadi.

Jelasnya juga, calon BN, Mohd Sharim Md Zain,41, dipilih berdasarkan keupayaan beliau sebagai generasi muda, berpengalaman penuh dengan aktiviti belia dan kemasyarakatan serta biasa dengan urusan rakyat kerana pernah berkhidmat bersama mentornya, bekas ADUN Chini, Allahyarham Datuk Seri Abu Bakar Harun.

“Ini orang yang kita perlukan. Beliau adalah ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Pekan. Banyak peluang untuk dibawa segala masalah rakyat dan ada dua kerajaan di belakangnya, kerajaan negeri dan kerajaan pusat.

“Calon Bebas, tidak ada satupun kerajaan di belakangnya,” tegasnya lagi. – UMNO ONLINE

Oleh: Zylan Mohamed

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.