Mohd Sharim Bersyukur KKM Beri Komitmen Penuhi Suara Hati Rakyat

PEKAN, 1 Julai – Calon Barisan Nasional (BN) di dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini, Mohd Sharim Md Zain bersyukur apabila kerajaan melalui Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) komited dalam memberikan perkhidmatan kesihatan dan rawatan yang terbaik kepada rakyat di kawasan tersebut.

Mohd Sharim ketika ditemui UMNO Online di Kampung Tanah Merah, di sini berkata, bagi pihak rakyat, beliau menyalurkan suara hati mereka yang meminta beberapa keperluan mendesak berhubung penambahbaikan perkhidmatan di Klinik Kesihatan Chini, di sini.

“Alhamdulillah semalam (Isnin) saya dapat bersama dengan Datuk Seri Dr Adham Baba Menteri Kesihatan Malaysia dalam satu majlis tertutup dan saya ada menyuarakan beberapa perkara untuk kebaikan masyarakat DUN Chini.

“Antaranya hemodialisis, mesin xray, klinik tambahan khususnya di Chini Timur. Semalam Alhamdulillah Menteri Kesihatan mengumumkan berita baik seperti sepuluh mesin dialisis…pesakit tak perlu pergi ke Muadzam dan Pekan seminggu tiga kali.

“Ini satu kebaikan memudahkan masyarakat untuk menggunakan khidmat di klinik kesihatan. Ada juga penambahan 12 katil pesakit yang sebelum ini hanya ada empat. Mesin xray yang kita minta pun Alhamdulillah dapat dan juga sistem pendawaian untuk ditambah baik,” katanya.

Kelmarin dalam siri-siri lawatan ke hospital dan klinik kesihatan di seluruh negara, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba dalam kunjungannya ke Klinik Kesihatan Chini mengumumkan beberapa penambahbaikan infrastruktur di pusat rawatan yang menjadi tumpuan kepada puluhan ribu penduduk khususnya di lapan perkampungan rancangan Felda.

Antaranya seperti kewujudan pusat hemodialisis, bahagian radiologi (x-ray), penambahan katil di ‘emergency bay’ dan menambah baik sistem pendawaian.

Berhubung dengan Klinik Kesihatan di Gugusan Chini Timur, ia masih dalam peringkat perbincangan lanjutan manakala Klinik Kesihatan Paloh Hinai telah ada perancangan bagi kemudahan penduduk sekitar kampung tradisional dan masyarakat Orang Asli.

Baru-baru ini juga, bagi mengatasi masalah bekalan air, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata kerja pembinaan Kolam Takungan Hiliran (ORS) di muka sauk Sungai Mentiga akan bermula September depan dan proses menyiapkannya mengambil masa 12 bulan.

Untuk rekod, projek yang bakal memberi manfaat kepada lebih 33,000 penduduk di sekitar Felda Gugusan Chini termasuk kampung-kampung tradisional itu tergendala berikutan tindakan kerajaan pusat sebelum ini, kerajaan Pakatan Harapan (PH) melambatkan pembinaannya meskipun peruntukan sebanyak RM18 juta telah diluluskan sejak 2017 ketika era kerajaan BN di bawah pentadbiran Perdana Menteri Keenam, Datuk Seri Mohd Najib Razak yang juga Ahli Parlimen Pekan. – UMNO ONLINE

Oleh: Zylan Mohamed

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.