PRK Chini: Kemenangan BN Akan Jadi Isyarat Keyakinan Kepada Perikatan Nasional

PEKAN, 30 Jun – Kemenangan calon Barisan Nasional (BN) yang mewakili Perikatan Nasional dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini, bakal memberi isyarat kepada rakyat tentang keupayaan Perikatan Nasional, sebagai gabungan parti politik yang mampu bekerjasama menjayakan agenda kebajikan rakyat dan kemajuan negara.

Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kesepakatan dan kematangan parti-parti Perikatan Nasional untuk berkempen serta berkongsi pentas politik secara terbuka di PRK DUN Chini, adalah satu langkah ke arah pembentukan perikatan itu menjadi gabungan politik yang kukuh dan mantap.

“PRK DUN Chini adalah pilihan raya pertama bagi Bersatu bersama gabungan kerajaan Perikatan Nasional. Sebagai Presiden Bersatu dan Perdana Menteri Malaysia, saya menyokong penuh calon yang telah diputuskan oleh BN untuk bertanding pada PRK DUN Chini, Saudara Mohd Sharim Md Zain,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Muhyiddin yang juga Pemangku Pengerusi Bersatu berkata, bagi memastikan kemenangan pertama Perikatan Nasional, seluruh jentera akar umbi Bersatu Bahagian Pekan, telah digerakkan membantu calon pilihan gabungan itu.

“Gerakan kempen ini diperkuatkan lagi dengan kehadiran pemimpin-pemimpin kanan Bersatu dari seluruh negara,” katanya.

Muhyiddin turut menyeru 20,990 pengundi berdaftar di DUN Chini, agar keluar beramai-ramai dan memberikan sokongan padu kepada calon BN, pada hari pengundian Sabtu ini.

“Pilihan anda bukan sahaja bakal menentukan pembangunan dan masa depan Chini, tetapi akan membuka lembaran baharu kepada hala tuju politik di peringkat nasional,” katanya.

PRK DUN Chini menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Mohd Sharim, 41, dan dua calon Bebas iaitu Tengku Datuk Zainul Hisham Tengku Hussin, 64, dan Mohd Shukri Mohd Ramli, 49.

Ia diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Seri Abu Bakar Harun, 60, di Hospital Kuala Lumpur (HKL) akibat serangan jantung pada 7 Mei lepas.

DUN Chini mempunyai 20,990 pengundi, dengan 90.39 peratus atau 19,058 adalah pengundi Melayu. Pemilih terdiri daripada 10,269 lelaki dan 10,721 perempuan.

DUN Chini, adalah satu daripada empat DUN di bawah Parlimen Pekan, menyaksikan PRK pertama selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mula dilaksanakan pada 18 Mac lepas dan PRK ke-11 diadakan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Pada PRU14, Abu Bakar mempertahankan kerusi DUN Chini dengan majoriti 4,622 undi selepas memperoleh 10,027 undi, menewaskan calon PAS Mohd Fadhil Noor Abdul Karim (5,405) dan Mohamad Razali Ithnain dari PKR (1,065). – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.