Menghina Jata Negara: Tiada Maaf Bagimu… Tindakan Tegas Harus Diambil – Dr Asyraf Wajdi
KUALA LUMPUR, 30 Jun – Pemuda UMNO Malaysia tetap berpendirian bahawa tindakan tegas harus diambil kepada pihak yang didapati bersalah melakukan penghinaan terhadap lambang kedaulatan Negara termasuklah Jata Negara, biarpun sudah memohon maaf.
Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menegaskan berkata harus diingat martabat dan maruah negara tidak sesekali boleh diperlekehkan sewenang-wenangnya.
“Kami membaca kenyataan Pengarah dan pengasas syarikat penerbitan Gerakbudaya, Chong Ton Sin yang dilaporkan ‘Malaysiakini’ pagi ini bahawa pihaknya tiada niat untuk menghina lambang negara Jata Negara. Kata beliau, ‘walaupun kami tak sengaja, kalau sudah buat sesiapa rasa kurang senang, ada menyinggung perasaan mereka, itu saya minta maaf’.
“Bagi Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, ini bukan soal ‘sesiapa rasa kurang senang’. Malah tidak semudah itu lafaz maaf boleh diterima setelah penghinaan terhadap lambang kedaulatan negara diperlakukan sebegitu rupa,” bidas beliau.
Dr Asyraf berkata demikian menerusi kenyataan dalam laman Facebooknya hari ini susulan kenyataan Chong Ton Sin yang merupakan penerbit kepada buku bertajuk “Rebirth: Reformasi, Resistance, And Hope In New Malaysia” (ISBN : 9789672165811) disunting oleh penulis, Kean Wong yang mana mempamerkan sebuah logo mirip jata negara yang telah diubah suai sebagai penghias muka hadapan.
Tegas Dr Asyraf lagi, bahkan undang-undang jelas memperuntukkan Seksyen 5 Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) Pindaan 2016, yang mengenakan hukuman penjara sehingga tiga tahun dan denda sehingga RM 20,000 bagi kesalahan penggunaan lambang negara termasuk jata negara secara tidak wajar.
“Prinsip Undang-undang ada menyebut ‘Ignorantia Juris Non Excusat’ (Ignorance of the Law is No Excuse) bermaksud kejahilan terhadap undang-undang bukan suatu alasan,” katanya lagi. – UMNO Online