Mahdzir Seru Jentera BN Kekalkan Momentum, Capai Keputusan Tahap Maksimum

PEKAN, 30 Jun – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid menyeru jentera Barisan Nasional (BN) agar terus berusaha dengan lebih keras dalam menjalankan aktiviti berkempen sepanjang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini.

Ini kerana katanya, agar BN yang dibantu rakan Muafakat Nasional dari PAS dan rakan parti-parti yang lain mampu mencapai satu keputusan di tahap paling maksimum.

“Dan pada masa yang sama kita janganlah leka, teruskan usaha dan yang penting sekali kita dapat memaksimumkan pengundi-pengundi dapat keluar mengundi pada 4 Julai nanti. Sebabnya kita tak nak ada di kalangan kita yang rasa selesa dan akhirnya di kalangan kita ada yang terabai dan ramai yang tidak keluar mengundi.

“Kepada seluruh jentera BN yang sedang bertugas, anda semua berada di tahap terbaik dan teruskan usaha ini untuk membolehkan kita menemui semua pengundi dalam DUN Chini.

“Saya berharap (BN) dapat menemui seramai mungkin kerana kita tahu pengundi di DUN Chini lebih kurang 20 ribu di mana lapan ribu pengundi luar dan 12 ribu yang berada di dalam DUN,” ujarnya kepada UMNO Online.

Tambah Ahli Parlimen Padang Terap itu, apa yang paling penting dengan usaha keras tersebut juga sebagai satu isyarat bahawa BN masih menjadi pilihan rakyat dan tanda solidariti serta utuhnya perpaduan di kalangan rakan-rakan parti.

Berhubung dengan beberapa prosedur operasi standard (SOP) dan garis panduan yang ditetapkan sepanjang berkempen di musim Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), Pengerusi TNB itu berkata jentera BN tetap mempunyai semangat yang cukup tinggi.

“Saya dapati bahawa jentera BN berada pada tahap yang cukup tinggi untuk membuat kempen dari rumah ke rumah dan juga melalui penerangan isu-isu semasa oleh tokoh-tokoh yang telah diberi tanggungjawab untuk menyampaikan syarahan mereka sama ada petang ataupun malam.

“Namun begitu saya dapati bahawa semua peraturan atau SOP yang berkaitan dengan COVID-19 ini mereka patuhi terutama dalam melibatkan ucapan dalam dewan-dewan ataupun di rumah dari segi penjarakan sosial.

“Oleh yang demikian saya berharap bahawa kita mematuhi semua peraturan yang diarahkan oleh kerajaan,” katanya.

Mahdzir juga menyeru pengundi-pengundi yang berada di luar kawasan Chini untuk pulang menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi dan sama-sama menyumbang undi kepada BN bagi mendapatkan jumlah majoriti yang terbaik.

Mengulas lanjut, Mahdzir juga menyeru pengundi menolak sama sekali calon Bebas kerana mereka sebenarnya tidak mampu menawarkan perkhidmatan terbaik untuk rakyat dan bertanding hanya disebabkan manifestasi kekecewaan mereka sahaja.

Calon BN, Mohd Sharim Md Zain, 41, generasi kedua Felda Chini 3 yang juga Naib Presiden Majlis Belia Pahang dan Pengerusi Majlis Belia Felda Wilayah Kuantan dicabar penentangnya dari dua orang calon Bebas. – UMNO ONLINE

Oleh: Zylan Mohamed

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.