Pusat Undi Awal Siap Dinyahkuman – Bomba Chini

PEKAN, 29 Jun – Pasukan Bomba dan Penyelamat Chini bersiap siaga 24 jam untuk menghadapi sebarang situasi kecemasan, sepanjang tempoh Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini, termasuk dalam hal membabitkan sanitasi nyahkuman membendung penularan COVID-19.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Chini Mohd Fadzirllah Zainal Abidin berkata, untuk pengundian awal esok, pasukannya telah melakukan operasi sanitasi nyahkuman di pusat mengundi di Bilik Maklumat, Balai Polis Chini dekat sini, bagi mengelakkan risiko penularan jangkitan COVID-19.

“Kita ikut SOP (prosedur operasi standard) sedia ada yang ditentukan oleh pihak kerajaan, di mana jarakan sosial, sanitasi awal dan ulangan dan kemudian pemantauan pusat pengundian itu sendiri.

“Bagi sanitasi ke seluruh pusat mengundi pula, semua itu bergantung kepada arahan PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) Majlis Daerah Pekan, bila kita perlu buat sama ada sebelum, semasa atau selepas, jika diperlukan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas lawatan kerja Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Ismail Abd Muttalib ke BBP Chini yang baharu, terletak berhampiran jalan utama Lebuhraya Kuantan-Segamat.

Seramai 18 pengundi awal melibatkan anggota polis akan mengundi di Bilik Maklumat, Balai Polis Chini bagi PRK Chini.

PRK Chini, melibatkan pertandingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN) Mohd Sharim Md Zain, 41, dan dua calon Bebas Tengku Datuk Zainul Hisham Tengku Hussin, 64, dan Mohd Shukri Mohd Ramli, 49.

Menurut Mohd Fadzirllah, operasi sanitasi berkenaan turut melibatkan kerjasama tiga lagi BBP iaitu BBP Peramu, Pekan dan Nenasi.

Pada majlis tersebut, BBP Chini menerima sebuah unit kenderaan penyelamat kebakaran (FRV) untuk operasi memadam kebakaran di kawasan pedalaman.

BBP Chini baharu yang mula dibina pada akhir Disember 2016 dengan peruntukan RM4.4 juta, telah siap pada Ogos 2019 dan mula beroperasi sepenuhnya tiga bulan kemudian.

PRK DUN Chini, yang merupakan satu daripada empat DUN di bawah Parlimen Pekan, akan menyaksikan PRK pertama selepas PKP mula dilaksanakan pada 18 Mac lepas. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.