PRK Chini: Pengundi Luar Perlu Pulang Mengudi, Beri Mandat Besar Kepada Calon BN – Ahmad Maslan


KUALA LUMPUR, 29 Jun – “Mungkin ada yang berpendapat tidak balik mengundi pun Barisan Nasional (BN) menang tapi itu pendapat yang silap,” ujar Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan.

Justeru beliau merayu kepada semua pengundi luar di Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini untuk pulang mengundi pada 4 Julai ini.

“Ada yang berpandangan baru-baru ini sudah balik, nanti raya Haji nak balik lagi jadi adakah perlu untuk balik lagi (untuk mengundi). Saya nak beritahu… perlu untuk pulang.

“Kita perlukan majoriti yang besar kerana dengan majorit besar itu ia akan memberi mandat yang besar kepada calon BN sebagai wakil di Chini ini.

“Apa yang kita harapkan adalah supaya anak-anak Chini di perantauan menunaikan tanggungjawab dengan balik mengundi. Mengundi adalah tanggungjawab kita, lagi banyak undi yang diperolehi lagi banyak majoriti kalau kita menang. Tunaikanlah amanah dengan balik mengundi,” ujar beliau kepada UMNO-Online.

Untuk rekod, DUN Chini mempunyai 20,972 pengundi biasa dan 18 orang pengundi awal.

Memandangkan PRK kali ini dijalankan ketika negara dilanda pandemik COVID-19 dan mempunyai SOP yang perlu dipatuhi maka Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) meneruskan inisiatif penghantaran kad pengundi kepada 20,990 pengundi menjelang hari mengundi 4 Julai ini.

Buat pertama kalinya, SPR juga mengesyorkan masa keluar mengundi mengelak orang berkumpul beramai-ramai pada satu masa. Pad kad pengundi yang diedarkan itu, ia mengandungi maklumat pusat mengundi, saluran mengundi, nombor bilangan pengundi, tarikh, masa pengundi dan cadangan masa keluar mengundi yang digalakkan SPR.

PRK DUN Chini yang akan berlangsung 4 Julai ini menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara calon BN dan dua calon Bebas.

BN mempertaruhkan generasi kedua Felda Chini, Mohd Shahrim Md Zain, 41, yang juga Pengerusi Majlis Belia Felda Wilayah Kuantan bagi mempertahankan kerusi DUN itu kekal milik BN.

Mohd Shahrim akan ditentang Timbalan Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Pekan, Datuk Tengku Zainul Hisham Tengku Hussin, 64, selaku calon Bebas dan aktivis masyarakat, Mohd Shukri Mohd Ramli, 49.

PRK DUN Chini diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Seri Abu Bakar Harun, 60, pada 6 Mei lalu di Hospital Kuala Lumpur akibat serangan jantung. Abu Bakar menjadi wakil rakyat kawasan itu sejak Pilihan Raya Umum ke-11. – UMNO ONLINE

Oleh: Azlina Rosdy

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.