Jangan Berpecah Lagi… Muafakat Demi Kestabilan – Ahmad Maslan


PEKAN, 29 Jun – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata orang Melayu dan Islam di negara ini tidak boleh mengulangi sejarah perpecahan yang terjadi sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Tegasnya, kesan perpecahan tersebut jelas kelihatan apabila tampuk pemerintahan negara dan beberapa kerajaan negeri dikuasai oleh mereka yang bukan Melayu, Islam.

“Kita ini berada dalam negara Organization of Islamic Conference (OIC). Tetapi yang memerintah Malaysia pada malam itu (9 Mei 2018) yang menjadi punca kemenangan lebih ramai ahli Parlimen bukan Islam daripada Islam dalam negara Islam Malaysia.

“Kerana umat Islam berpecah itulah yang berlaku. Di negeri Melaka (sebelum bertukar kerajaan negeri), 15 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) mereka menang sembilan bukan Islam, enam sahaja ADUN Islam tetapi untuk mengaburi mata orang Islam dilantik seorang Islam ketua menteri.

“Di Negeri Sembilan daripada 20 memerintah, 13 bukan Islam tujuh sahaja Islam. Daripada 29 (sebelum tiga melompat) yang memerintah di Perak, 18 bukan Islam 11 sahaja Islam,” katanya.

Ahmad berkata demikian di dalam majlis pemimpin bersama masyarakat di Felda Chini Timur 1, di sini Ahad malam yang turut disiarkan secara langsung di Facebook UMNO Online.

Menyedari hakikat tersebut tambahnya, UMNO dan PAS bergabung hingga wujud piagam Muafakat Nasional pada 14 September 2019 di Dewan Merdeka, PWTC, Kuala Lumpur.

“Kita lihat bagaimana pemimpin PAS dan UMNO duduk bersebelahan kerana kita tahu apabila kita berpecah orang lain yang memerintah negara ini.

“Jangan berpecah lagi, kalau kita tidak berpecah lagi InsyaAllah boleh menang dan memerintah negara ini semula.

“Pentingnya perpaduan ini. Sekarang ini kalau kita dapat kembali 79 kerusi BN (sebelum BN berpecah), campur PAS 18 kerusi, campur 32 kerusi (kalau dicampur kerusi UMNO dan PAS yang kalah sekarang, kerusi itu boleh menang), berjumlah 129 kerusi,” katanya.

Ahmad juga berkata berasaskan itulah wujud tema yang digunapakai di dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Chini iaitu ‘Muafakat Demi Kestabilan’ serta yakin undi BN dan PAS ketika PRU-14 lalu jika digabung pada PRK ini mampu memberi majoriti undi sehingga berbelas ribu.

Ahli Parlimen Pontian itu juga menyeru pengundi DUN Chini memilih generasi kedua Felda, Mohd Sharim Md Zain, 41, sebagai wakil rakyat di kawasan tersebut bagi menggantikan tempat Allahyarham Datuk Seri Abu Bakar Harun yang merupakan generasi pertama.

Selain di Felda Chini Timur 1, Ahmad turut ke Felda Chini Timur 3 yang juga dihadiri bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Samad dan lokasi ketiga di Felda Chini 1 bersama Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Pahang, Mohd Farid Mohd Noor. – UMNO ONLINE

Oleh: Zylan Mohamed

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.