Hina Jata Negara: KDN Mesti Segera Ambil Tindakan – Pemuda UMNO


KUALA LUMPUR, 29 Jun – Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia mendesak agar pihak penulis, penyunting dan penerbit buku yang menghina Jata Negara disiasat serta diambil tindakan tegas oleh pihak berkuasa jika benar terbukti wujud motif untuk berlaku biadab dan menghina.

Tegas Ketuanya Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, Kementerian Dalam Negeri juga harus segera mengambil langkah menggantung penerbitan dan pengedaran buku tersebut untuk mengelakkan daripada terlepas ke luar negara, seterusnya menjatuhkan imej negara di mata masyarakat dunia.

“Perbuatan ini jelas menggambarkan betapa penulis buku seolah-olah merendah-rendahkan martabat Jata Negara dan menghina lambang rasmi kedaulatan negara.

“Seksyen 5 Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963 memperuntukkan penjara sehingga tiga tahun dan denda sehingga RM 20,000.00 bagi kesalahan penggunaan lambang negara termasuk jata negara secara tidak wajar,” jelasnya lagi dalam satu kenyataan di Facebooknya.

Dr Asyraf berkata demikian mengulas mengenai tular di media sosial pengguna berkongsi satu pautan laman sosial Facebook sebuah syarikat buku, Ilham Books di pautan [https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=3961434060565004&id=597490066959437] yang mengiklankan sebuah buku bertajuk “Rebirth: Reformasi, Resistance, And Hope In New Malaysia” (ISBN : 9789672165811) disunting oleh penulis, Kean Wong yang mana mempamerkan sebuah logo mirip jata negara yang telah diubah suai sebagai penghias muka hadapan.

Lukisan mirip jata negara itu meletakkan seorang kanak-kanak berbogel di atas bulan dan bintang, serta mengubahsuai bentuk dua ekor harimau selain menambahkan bentuk seekor buaya di bahagian bawahnya.

Tambah Dr Asyraf lagi, jelas kelihatan akta yang baru dipinda dengan meningkatkan hukuman 20 kali ganda pada tahun 2016 belum cukup menggerunkan sesetengah pihak sehingga sanggup secara terbuka membuat penghinaan terhadap lambang rasmi negara, melalui penerbitan buku sebegini. – UMNO ONLINE

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.