Beri Kemenangan Besar Kepada BN, Bebas Tiada Kekuatan Bawa Suara Rakyat – Dr Shamsul Anuar


PEKAN, 29 Jun – Pengundi diseru memilih calon Barisan Nasional (BN), Mohd Sharim Md Zain dan menolak calon Bebas di dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini, kata Pengerusi Akademi UMNO Malaysia, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah.

Kata Menteri Tenaga dan Sumber Asli itu, calon BN mempunyai cukup kekuatan yang didokong oleh parti dan disokong pula oleh Muafakat Nasional dan kerajaan Perikatan Nasional bagi menangani segala permasalahan rakyat berbanding calon Bebas yang tidak mempunyai kemampuan tersebut serta hanya pandai menabur janji.

“Rakyat jangan terpengaruh dengan janji yang dibawa oleh calon Bebas. Sebenarnya mereka tidak ada kekuatan. Calon Bebas tidak mampu untuk menyuara dan memberi pandangan bagi pihak rakyat.

“Yang boleh memberi pandangan dan menyuarakan isi hati rakyat adalah dari parti yang betul-betul kuat. Sudah tentu sangat jauh berbeza antara parti UMNO, BN ini dengan calon Bebas.

“Mereka tidak ada kemampuan dan kekuatan apatah lagi kerajaan yang pada hari ini di negeri (Pahang) adalah kerajaan BN. Sangat janggal kalau calon Bebas nak bercakap dan berurusan dengan kerajaan BN. Jadi apa yang dibawa dan disuarakan oleh calon Bebas amat tidak munasabah, kita harus tolak,” katanya kepada UMNO Online ketika ditemui selepas mengadakan Ziarah Kasih di Felda Chini 1, 3 dan 5 di sini.

PRK DUN Chini diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Seri Abu Bakar Harun pada 6 Mei lalu di Hospital Kuala Lumpur (HKL) kerana serangan jantung.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan hari pengundian biasa pada 4 Julai dan pengundian awal pada Selasa ini.

Mengulas lanjut, Dr Shamsul yang juga Ahli Parlimen Lenggong menyeru jentera tetap bekerja keras walaupun yakin kemenangan di pihak BN.

“Namun tentu menjadi harapan besar kemenangan yang kita inginkan dalam pilihan raya kali ini ialah kemenangan yang berganda dengan meningkatkan jumlah majoriti.

“Saya cukup yakin dengan kekuatan yang ada di sini. Sudah tentu bukan sahaja rakyat di Chini, Pekan dan Pahang malah seluruh negara mahu melihat bagaimana UMNO dan BN boleh terus kekal dengan kekuatannya apatah lagi ini pilihan raya pertama selepas UMNO kembali menjadi sebahagian daripada kerajaan Perikatan Nasional.

“Yang penting saya harap kita bekerja bersungguh-sungguh dan walaupun lawan kita di kalangan Bebas tetapi kita mesti menganggap mereka adalah calon yang boleh mengganggu kemenangan kita. Oleh itu, kita mesti bekerja bersungguh-sungguh untuk memastikan kita menang dengan jumlah undi yang besar,” jelasnya lagi.

Dr Shamsul juga yakin dengan kerjasama daripada parti-parti lain dalam Muafakat Nasional dan kerajaan Perikatan Nasional ia akan membantu menambahkan lagi majoriti undi.

Mohd Sharim, 41, generasi kedua Felda Chini 3 yang juga Naib Presiden Majlis Belia Pahang dan Pengerusi Majlis Belia Felda Wilayah Kuantan dicabar penentangnya dari dua orang calon Bebas.

Mohd Sharim juga merupakan Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Pekan dan Ketua Pemuda UMNO Cawangan Felda Chini 3 Berkat dan pernah dinobatkan sebagai Duta TN50 Felda Wilayah Kuantan. – UMNO ONLINE

Oleh: Zylan Mohamed

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.