Kemenangan BN Di PRK Chini Signal Rakyat Tolak Tun Mahathir
PEKAN, 28 Jun – Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ismail Sabri berkata, pengundi harus memastikan calon Bebas Datuk Zainul Hisham Tengku Hussin kalah pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Chini.
Ujar beliau, ini bagi memastikan Tun Mahathir tidak mempunyai harapan untuk menjadi perdana menteri kali ke tiga.
“Kita tahu calon Bebas ini adalah proksi kepada Tun Mahathir. Sekiranya Zainul menang ia akan memberikan isyarat bahawa Tun Mahathir masih diterima selepas tumbangnya kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada Februari lalu.
“Calon bebas ini merupakan calon yang secara terbuka disokong oleh Tun Mahathir, jadi sekiranya dia menang maka Tun akan mempunyai harapan untuk menjadi perdana menteri pada usia 95 atau 96 tahun,” ujar beliau ketika berucap dalam program Ceramah Muafakat Demi Kestabilan – Pemimpin Bersama Rakyat di Bandar Dara, Chini malam tadi.
Justeru tambah Ismail, pengundi di Chini harus memastikan calon BN menang dalam PRK kali ini agar ia dapat memberi signal kepada Tun bahawa dia ditolak untuk menjadi Perdana Menteri kali ketiga.
“Tun cuba meletakkan calon dia di sini dengan harapan kalau calon dia ini menang maka dialah mempunyai harapan untuk kembali menjadi perdana menteri yang kali ketiga.
“Jadi, kita harus pastikan ini tidak tercapai dengan memberi kemenangan besar kepada calon BN,” ujar Ismail lagi.
Untuk rekod, sebelum ini Tun Mahathir yang juga Ahli Parlimen Langkawi secara terbuka menyatakan sokongan kepada Zainul yang bertanding di PRK Chini.
Tun menyifatkan, Zainul yang sebelum ini berjawatan Timbalan Ketua Bahagian PPBM Pekan adalah pilihan terbaik dalam pertandingan tiga penjuru itu pada 4 Julai depan.
Hadir sama dalam ceramah tersebut adalah Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Sharil Hamdan, veteran UMNO, Tan Sri Shahrir Abdul Samad dan Setiausaha Agung PPBM Datuk Seri Hamzah Zainudin. – UMNO ONLINE
Oleh: Azlina Rosdy