22 Bulan PH Memerintah, Tiada ‘Nawaitu’ Tambah Baik Kedudukan Rakyat Dan Negara


PEKAN, 28 Jun – Ahli Parlimen Pekan Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, sudah cukup riwayat 22 bulan Pakatan Harapan (PH) mentadbir negara kerana mereka tiada ‘nawaitu’ mahu menambahbaik kedudukan rakyat dan memajukan negara.

Ujar Najib, PH hanya mahu membalas dendam kesumat dan mereka mengguna apa sahaja cara termasuk fitnah yang dirancang secara besar-besaran.

“Selain fitnah, pembohongan dan janji palsu juga mereka mainkan seperti yang dibuat oleh Mazlan Aliman yang kini tak nampak muka lepas pilihan raya.

“Kalau dia anak jantan, berani… datanglah ke Chini… kita ‘sambut’ sebab dia telah tipu kita… dia kata PH nak hapuskan hutang peneroka tapi satu sen pun tak dihapuskan,’ ujar beliau ketika berucap dalam program ramah mesra bersama veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Bandar DARA, Chini, di sini hari ini.

Selain itu Najib turut mengatakan bahawa Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini bukan penentu kepada pembentukan kerajaan negeri Pahang kerana bilangan kerusi di negeri ini sudah mencukupi tetapi ia memberi makna yang cukup besar dan memberi isyarat yang jelas bahawa bumi Pahang adalah bumi Barisan Nasional (BN) dan Muafakat Nasional.

“Kita juga boleh memberi isyarat bahawa Parlimen Pekan khususnya DUN Chini akan terus merupakan kubu kuat kepada BN.

“Kita tengok apa yang PH buat sepanjang 22 bulan, apa yang dia buat untuk kita? Dia suruh kita ikat perut, bantuan dikurangkan, ekonomi turun, menteri cakap merapu, meroyan, suruh sawit ganti buluh, suruh kita minum sesudu sawit,” bidas beliau.

Justeru, para pengundi di DUN Chini harus memberikan kemenangan besar kepada calon BN yang pastinya mampu membawa suara rakyat. – UMNO ONLINE

Oleh : Azlina Rosdy

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.