PRK Chini Manifestasi BN Bersama PN – Ahmad Zahid

PEKAN, 27 Jun – Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini adalah satu manifestasi BN bersama dengan Perikatan Nasional (PN).

Jelas beliau, walaupun PN belum berdaftar secara rasminya namun semangat PN diterjemahkan sebagai kesinambungan kejayaan PRK yang lalu.

“PRK Chini adalah PRK keenam yang dilalui oleh BN namun PRK ini adalah satu manifestasi kerana ia adalah pertama kali BN bersama PN mengenengahkan calon BN.

“Sebelum ini menang atas Muafakat Nasional dan penyatuan ummah tetapi kali ini kita melihat bahawa PN walaupun belum berdaftar secara rasminya namun semangat PN diterjemahkan sebagai kesinambungan kejayaan PRK yang lalu,” ujar beliau keypada media selepas program makan tengahari bersama masyarakat kampung di Dewan Dato’ Seri Abu Bakar di sini.

Bercakap soal calon Zahid berkata, apabila BN mengenengahkan anak generasi kedua Felda, ia bukan hanya manifestasi kepada peneroka Felda, pengundi di kampung tradisional dan kawasan orang asli namun ia adalah suara anak muda yang terus diangkat apabila calon BN ini terpilih sebagai ADUN di sini nanti.

“Saya yakin beliau bukan hanya dapat membawa isu rakyat namun suara anak muda juga,” ujarnya.

Sementara Itu dalam ucapannya pula Zahid berkata, PRK Chini ini juga bakal menjadi bukti bahawa lambang dacing masih diterima rakyat.

“Dulu selepas PRU-14, seolah-olah lambang dacing tidak relevan tapi lima PRK lalu menunjukkan lambang dacing masih terus diterima rakyat.

“PRK Chini adalah PRK pertama selepas penubuhan PN dan inilah ujian pertama untuk memperlihatkan BN masih diterima rakyat dan kerana itu lambang dacing terus diguna,” ujar beliau. – UMNO ONLINE

Oleh: Azlina Rosdy