PRK Chini: Kempen Sudah Meliputi 60 Peratus – Mohd Sharim

PEKAN, 27 Jun – Calon Barisan Nasional (BN), Mohd Sharim Md Zain berkata, kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini kini sudah meliputi 60 peratus.

Justeru bagi baki hari kempen selanjutnya, beliau akan cuba untuk terus turun berjumpa dengan pengundi di sini.

“Mengakhiri kempen minggu pertama di sini kita sudah meliputi 60 peratus, jadi baki selebihnya saya akan cuba habiskan dengan terus mendekati para pengundi.

“Saya akan berjumpa seramai mungkin pengundi muda dan orang lama untuk bersama beri kepercayaan kepada saya untuk calon BN,” ujar beliau ketika berkempen bersama-sama Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Razak, di Salong, di sini.

Ketika ditanya, apakah fokus beliau kepada pengundi wanita khususnya ibu tunggal di sini, Mohd Sharim berkata golongan tersebut tidak akan dipinggirkan.

“Sekiranya saya dipilih, segala bantuan akan diteruskan. Dulu masa Allayarham Datuk Seri Abu Bakar banyak beri sumbangan kepada ibu miskin dan cara membantu mereka untuk berdikari dan meningkatkan pendapatan.

“Kita akan cuba untuk memastikan produk yang telah diusahakan oleh ibu tunggal juga dijadikan satu produk untuk warga Chini.

“Kita juga akan cuba melihat daripada golongan wanita yang ada dan kita akan cuba melihat pada minat yang ada dan cuba untuk membantu melalui agensi yang ada di Pahang,” katanya lagi.

Untuk rekod, pengundi wanita di Chini berjumlah 10,721 orang yang meliputi 51 peratus daripada jumlah pengundi Chini manakala pengundi lelaki adalah pada 49 peratus dengan 10,267 orang.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK DUN Chini, Pahang pada 4 Julai ini manakala tarikh mengundi awal pada 30 Jun. – UMNO ONLINE

Oleh: Azlina Rosdy

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.