Pengundi Chini Mesti Tolak Proksi PH – Mohamad


PEKAN, 27 Jun – Pengundi di Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini perlu menolak calon yang mempunyai hubung kait dengan Pakatan Harapan (PH), tegas Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Katanya, ini berdasarkan kepada peluang selama 22 bulan memerintah negara telah disia-siakan oleh PH hingga menyebabkan rakyat menderita dan negara huru-hara dari pelbagai aspek.

“Kita sudah tahu siapa Pakatan Harapan. Itu sebab di sini (DUN Chini) dia tak bertanding tapi dia letak proksi-proksinya. Kita terlihat, terhidu bau calon-calon yang dikatakan bebas tersebut didokong oleh jentera-jentera parti yang tak mahu bertanding.

“Itulah saya harap di Chini ini pada 4 Julai nanti keluar seramai mungkin dalam Dewan Undangan Negeri Chini ini dan undilah Barisan Nasional (BN).

“Tunjukkan kepada seluruh rakyat Malaysia, semua berhasrat akan bersama-sama dengan pengundi-pengundi di Tanjung Piai, Rantau, Semenyih dan Cameron Highlands bahawa kita tidak boleh lagi menerima tipu helah kerajaan Pakatan Harapan dan kerajaan Pakatan Harapan mesti dikalahkan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) yang akan datang,” katanya lagi.

Mohamad yang juga ADUN Rantau berkata demikian di dalam Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Paloh Hinai, di sini, Jumaat malam.

Hadir sama Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah, Datuk Seri Mohd Jamil Khir Baharom.

Ulasnya juga, parti-parti di dalam PH mempunyai agenda serta idealogi masing-masing dan kerana itulah pakatan tersebut tidak berjaya berbeza dengan kemuafakatan yang wujud di dalam BN dan PAS selain rakan parti yang lain.

Mohamad turut menyentuh bahawa UMNO dan BN selama 62 tahun mentadbir negara tidak pernah meminggirkan sesiapa, begitu juga dengan Muafakat Nasional.

“Sejarah pentadbiran kita, UMNO tidak pernah meminggirkan sesiapa. Jadi ini yang penting, muafakat kita sama-sama supaya negara yang aman damai, berbilang kaum ini dapat kita tadbir dengan sama-sama membina kehidupan kepada semua orang. Ini yang menjadi falsafah kita.

“Jangan terjebak dengan tuduhan yang mengatakan UMNO, PAS parti yang rasis. Tambahan pula PAS dan UMNO telah bekerjasama maka orang bukan Bumiputera tidak ada tempat…tidak betul. Pemimpin-pemimpin BN telah mempunyai pengalaman,” tambahnya. – UMNO ONLINE

Oleh: Zylan Mohamed

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.