Mengarut! Hidup Mati Saya Dengan UMNO – Ismail Sabri

PEKAN, 27 Jun – “Mengarut! Hidup mati saya dengan UMNO,” tegas Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Jelas beliau, isu kononnya beliau bakal menyertai sebuah parti baru hanya propaganda politik apatahlagi ia berlaku ketika kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini.

Beliau berkata demikian mengulas senarai berkaitan penubuhan parti Reformasi Bersatu Negara yang sedang tular.

“Mengarut…saya sudah kata hidup mati saya bersama UMNO, kalau saya berhenti politik sekali pun saya berhenti dalam UMNO juga. Jadi tidak timbul isu parti baru… ini nama main masuk je.

“Ini semua nak kelirukan orang, tiba-tiba dalam PRK keluar benda ini, jadi ini semua nak kelirukan pengundi,” ujar beliau kepada media selepas bersarapan pagi bersama penduduk di Felda Chini 3 hari ini, di sini.

Mengulas mengenai PRK Chini pula Ismail merayu kepada semua pengundi luar untuk balik mengundi dan jangan sesekali memandang mudah walaupun BN yakin menang.

“Dari segi rekod memang BN menang. PRK yang lepas juga kita menang termasuk di kawasan yang tidak dijangka menang. Rakyat memang menolak PH walaupun sekarang tidak ada PH lagi.

“Walaupun di sini seolah-olah tidak ada pertandingan sebab kita bertanding dengan Bebas tapi jangan pandang mudah. Pertandingan tetap pertandingan. Pengundi luar balik, jangan tidak balik.

“Setiap pertandingan ada risiko jadi jangan sambil lewa sehingga tidak balik untuk mengundi sebab yakin menang. Sehingga keputusan diumumkan kita kena kerja kuat untuk parti,” tegas beliau. – UMNO ONLINE

Oleh: Azlina Rosdy

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.