Kerajaan Peruntukkan RM9.5 Juta, Pulihkan Rumah Generasi Kedua

PEKAN, 27 Jun – Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menjelaskan, FELDA telahpun mendapat kelulusan peruntukan Kerajaan Persekutuan sebanyak RM9.5 juta sejak April (2020), bagi memulihkan kembali projek rumah terbengkalai bagi generasi kedua di Rancangan Tanah FELDA Chini 3 dekat sini.

Ekoran itu katanya, 29 unit rumah teres setingkat yang terbengkalai akan dipulihkan bermula September 2020 ini, termasuk melaksanakan kerja-kerja infrastruktur bagi tapak asal pembinaan 100 unit di sana.

“Kerja ini akan dimulakan pada September 2020 dan ini telah dirancangkan sebelum Arwah meninggal dunia lagi (pada 6 Mei 2020). Jadi tidak timbul isu (kononnya atas) sebab Pilihanraya Kecil (hendak diadakan), kita nak buat (semula) rumah ini.

“Ianya telah dirancangkan lebih awal lagi, cuma Arwah tidak dapat melihat (hasilnya) kerana Arwah telah kembali ke Rahmatullah dan kita rasa sangat dukacita,” kata Wan Rosdy dalam temubual eksklusif dengan media.

“Jadi, isu yang dimainkan kononnya Kerajaan tidak ambil perhatian, Kerajaan tidak mengambil peduli; cuma bila PRK (hendak diadakan) baru Kerajaan menitikberatkan isu rumah ini, adalah tidak betul sama sekali.

ASALNYA PROJEK INI UNTUK MEMBINA 100 UNIT

“Itu adalah tohmahan, fitnah dan ini jelas menunjukkan mereka cuba menimbulkan keadaan supaya seolah-olah Arwah ataupun Kerajaan tidak berbuat apa-apa kepada (usaha membantu) mereka,”katanya lagi.

Asalnya projek ini katanya, ialah untuk membina 100 unit rumah teres setingkat dengan kos RM17.8 juta dan FELDA telah melantik kontraktor pada September 2013 lagi bagi membangunkannya.

Malangnya kata Wan Rosdy, kontraktor berkenaan gagal menyiapkan keseluruhan 100 unit rumah tersebut, tetapi sekadar 29 unit itupun tidak siap sepenuhnya hingga memaksa FELDA menamatkan (khidmat) kontraktor berkenaan.

Menurut rekod yang diperolehi menerusi pejabat FELDA Wilayah Kuantan, penamatan itu ialah pada Mei 2018 disusuli kemudian usaha untuk memulihkan kembali projek ini dengan pembentangan Pelan Penyelamatan dan Pelan Penyiapan kepada Kerajaan Persekutuan pada bulan Julai dan Oktober 2018.

Ini disusuli rundingan demi rundingan dengan pelbagai pihak antara Jun 2019 dan Februari 2020 antaranya dengan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi (MEA) serta Kementerian Kewangan sehinggalah keputusan kelulusan peruntukan itu pada April 2020.

JANGKA SIAP DALAM TEMPOH SETAHUN

“Dan baki 71 unit rumah lagi akan diusahakan oleh pihak FELDA dengan kos sebanyak RM6.4 juta. Bagaimanan kita dapat RM6.4 juta ini ialah atas kiraan RM90,000 satu unit rumah, dikalikan dengan 71 unit.

“Jangka siap dalam tempoh setahun. Cuma saya harap, kontraktor (yang dilantik kali ini) jangan jadi macam dulu tahun 2013. Bila dah ‘award’ gagal, hingga menyusahkan rakyat,” katanya. – Khabarpahang