Dalam Berpolitik, Jangan Terikut Dengan Khabar Angin – Mohamad


PEKAN, 27 Jun – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata berita-berita berbentuk khabar angin tidak pernah berhenti dalam arena politik.

Apa yang penting sekarang katanya, semua pihak perlu mendahului kepentingan negara.

“Kita jangan terikut sangat dengan khabar angin, yang pentingnya ialah kepentingan negara. Ahli Parlimen perlu bertanggungjawab kerana mereka ini merupakan penggubal undang-undang yang menubuhkan kerajaan, dasar-dasar kerajaan.

“Janganlah hidup sesuka hati hendak membuat itu dan ini. Mandat rakyat perlu kita hormati,” tegasnya ketika diminta mengulas mengenai wujud khabar angin akan wujud parti politik baharu dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang dianggotai ahli Parlimen kerajaan.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Perasmian Gagasan Generasi Baharu yang disempurnakan oleh Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak di Bandar DARA di sini hari ini.

Turut hadir calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini, Mohd Sharim Md Zain.

Tambah Mohamad lagi, oleh kerana itulah beliau berpendirian kerajaan yang kukuh adalah kerajaan yang perlu mendapat mandat yang besar.

“Kerajaan yang majoritinya amat tipis sentiasa sahaja di ambang ancaman. Sebab itu saya sarankan setelah kita berjaya, tahniah diucapkan kepada kerajaan PN dan rakyat Malaysia berjaya mengekang penularan wabak COVID-19 ini, kita fikir-fikirkanlah supaya kita dapatkan semula mandat dari rakyat agar rakyat yang pastikan kerajaan yang hendak ditubuhkan, kerajaan yang benar-benar mendapat mandat dan majoriti selesa.

“Kerajaan yang selesa boleh menumpukan sepenuh perhatian untuk membina semula negara. Kita mesti ingat selepas COVID-19 ini ekonomi seluruh dunia, bukan negara kita sahaja menghadapi masalah besar. Pengangguran berjuta, syarikat terpaksa tutup gulung tikar, orang hilang pendapatan.

“Jadi ini merupakan masalah yang perlu diselesaikan, yang perlu mendapat mandat rakyat, dasar yang tegas dan yang boleh didokong bersama,” ujar ADUN Rantau itu lagi.

Tetapi jelasnya, jika keadaan politik tanah air tidak menentu, beliau tidak yakin apa jua yang hendak dibuat oleh kerajaan akan dapat dilaksanakan dengan baik.

Berhubung dengan kempen BN di PRK DUN Chini, Mohamad mengharapkan berbaki seminggu ini BN mempergiatkan usaha menemui pengundi-pengundi supaya kerusi DUN tersebut dapat dikekalkan.

Katanya juga, ia sebagai peluang kepada barisan kepimpinan untuk menerangkan ke akar umbi mengenai dasar dan wawasan parti.

“Walaupun ramai orang kata kehangatan PRK kali ini tidaklah sebagaimana PRK yang lain-lain kerana calon dari parti-parti besar tidak bertanding cuma dua calon dari Bebas, yang penting kita hendak dasar parti, wawasan parti terutamanya sekarang ini kerajaan PN dan yang penting Muafakat Nasional (MN) ini kita terangkan kepada rakyat kerana di peringkat atas ramai yang faham tetapi di peringkat bawah masih ramai tak berapa faham.

“Jadi ini adalah peluang terbaik kepada kepimpinan parti untuk turun bertemu, berkempen sambil menerangkan keadaan negara, ekonomi negara, apa yang hendak kita buat dan pastinya hendak memberikan kefahaman kepada rakyat terutama kepada ahli parti asas MN dan kerajaan yang ditubuhkan atas nama PN.

“Dan PRK Chini diharapkan PRK yang terakhir sebelum kita mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15). Jadi ia merupakan sebagai latihan-latihan kepada jentera parti untuk bersiap sedia untuk ke PRU-15 nanti, InsyaAllah,” tambahnya.

Katanya juga, jentera parti tetap bersemangat menjalankan aktiviti berkempen semasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dan mengikut garis panduan yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). – UMNO ONLINE

Oleh: Zylan Mohamed

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.